Tuesday, March 20, 2012

Coretan bola sepak persahabatan SK. Tungku lwn SK. Telisai dan perpisahan Guru Besar, En. Ahmad Sallehan

Pada 6hb Mac lalu, perlawanan persahabatan kedua di antara pasukan bola sepak SK. Tungku dan SK. Telisai telah diadakan bertempat di padang daerah kecil Tungku.  Perlawanan ini adalah sebagai kunjungan balas perlawanan persahabatan pertama antara kedua-dua pasukan di padang SK. Telisai minggu lalu. Ini juga merupakan perlawanan persahabatan kedua bagi kedua-dua pasukan minggu ini selepas masing-masing mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain kelmarin. Para pemain dan krew-krew pasukan SK. Telisai tiba di SK. Tungku lebih kurang jam 3 lebih. Pasukan SK. Telisai kali ini diiringi oleh jurulatih En. David, pembantu-pembantu jurulatih En. Juzaidy, En. Sumali dan juga En. Safri @ Jas. Kedatangan mereka disambut oleh jurulatih SK. Tungku, En. Awg. Rozey, Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd Hasim dan juga En. Noradieh serta En. Mazlan dan Ustz. Jam'aus.








Warming up session telah diadakan sebelum perlawanan dengan masing-masing mengatur strategi serta mencari gandingan yang sesuai untuk perlawanan separuh masa pertama. Walaupun keadaan padang kurang baik, tetapi ianya tidak langsung mematahkan semangat bermain para pemain serta krew-krew perlawanan untuk meneruskan permainan dan mempamerkan aksi menarik dari kedua-dua belah pasukan.









Perlawanan separuh masa pertama banyak dikuasai oleh pasukan SK. Tungku dengan menyaksikan serangan-serang banyak dipatahkan dan disia-siakan oleh ketumpulan barisan serangan serta kecemerlangan penjaga gol SK. Telisai. Bermain di kawasan padang yang baik banyak memberi kelebihan kepada para pemain pasukan SK. Tungku untuk mengatur gerakkan namun hanya satu sahaja yang berhasil menerusi jaringan pemain penyerang Mohd. Haimin.  Adik Mohd. Haimin sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua namun tidak dikira kerana kedudukan offside. Pasukan SK. Telisai tidak pula hanya bermain secara bertahan sahaja , malah beberapa gerakkan turut diatur oleh para penyerang SK. Telisai. Namun, bermain pada bahagian padang yang becak banyak menganggu perancangan mereka akibat bola sering terperangkap dalam kawasan berair dan kawasan becak.  Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan SK. Tungku mendahului 1-0.











Perlawanan separuh masa kedua bermula rancak apabila kedua-dua pasukan saling menyerang. Perlawanan berterusan hingga hujan lebat turun ketika masa baru 5 minit bermula.  Bermain dalam keadaan sukar betul-betul menguji ketahanan mental serta stamina para pemain kerana banyak tenaga digunakan berbanding bermain dalam keadaan padang kering. Pasukan SK. Tungku sempat juga menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua menerusi Mohd. Faizan hasil lorongan pemain sayap kanan, Mohd. Adlan dan jaringan gol sendiri pemain pertahanan SK. Telisai hasil dari rembatan ketua pasukan SK. Tungku, Abd Rashid tertampan oleh pemain pertahanan terus menerjah masuk ke sebelah kiri gawang gol SK. Telisai. Pujian harus diberikan kepada penjaga gol SK. Telisai yang beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya penyerang SK. Tungku. Keputusan muktamat SK. Tungku 3 – 0 SK. Telisai.

Sesi perlawanan persahabatan sangat rancak dilakukan sepanjang minggu ini dengan keempat-empat pasukan dari kawasan Tungku iaitu SK. Tungku, SK. Telisai, SK. Sri Darun dan SK. Sri Pantai saling berbalas kunjungan melakukan perlawanan persahabatan bagi memantapkan pasukan. Selain daripada perlawanan ini, SK. Sri Darun turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan SK. Sri Pantai.  Jadual perlawanan setiap pasukan diatur dengan rapi. SK. Tungku yang dijadualkan bertemu SK.  Sri Pantai pada keesokan harinya tidak dapat dilaksanakan . Walaupun tidak dapat dijalankan, usaha ke arah itu sudah pun memadai bagi menunjukkan komitmen setiap pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan nanti. Usaha pasukan tuan rumah kejohanan , SK. Telisai juga giat meneruskan sesi perlawanan persahabatan seterusnya dengan kemenangan ke atas SK. Anjung Teduh 3-2 di padang SK. Telisai.  Jadi, seperti dalam mana-mana kejohanan bola sepak, apa-apa pun boleh terjadi di atas padang. Cuma berbekalkan pengalaman dan semangat juang para pemain pasti mengubah nasib sesebuah pasukan. Keputusan undian sudah pun dikeluarkan pada mesyuarat pegawai-pegawai pasukan yang diadakan tadi ( 20hb Mac) bertempat di Bilik Komputer SK. Telisai. Keputusan undian adalah seperti berikut:



MSSM Kejohanan Bola Sepak Bwh-12Tahun peringkat Zon
Tungku, Lahad Datu...
.....GROUP A.....
SK. Fajar Harapan
SK. Sahabat 16
SK. Lok Buani
SK. Tungku
SK. Cenderawasih
.......GROUP B........
SK. Sri Darun
SK. Telisai
SK. Anjung Teduh
SK. Tanjung Labian
SK. Sri Pantai

Kejohanan akan bermula secara rasminya esok 21hb Mac 2012. Diucapkan semoga berjaya kepada setiap pasukan. Kepada pasukan SK. Tungku, buatlah yang terbaik untuk kecemerlangan sukan sekolah. 


Pada 1hb Mac lalu, majlis perpisahan Guru Besar SK. Tungku telah diadakan selepas taklimat Revolusi Kecemerlangan Akademik .  Ini diadakan sebagai penghormatan serta penghargaan kepada jasa beliau membangun dan memajukan  SK. Tungku sejak tahun 2006 hingga lah sekarang.  Mula berkhidmat dari tahun 1980an, SK. Tungku merupakan sekolah kedua tempat beliau berkhidmat sebagai  Guru Besar  selepas SK. Sri Darun. Beliau mula berkhidmat di SK. Tungku sejak tahun 2006 menggantikan mantan Guru Besar SK. Tungku sebelum itu, En. Jamil bin Tagu. Selama 6 tahun  beliau telah merasa jatuh dan bangunnya sekolah ini bersama-sama dengan staf Tungku.  Banyak jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan dan diberikan kepada bukan sahaja kepada staf malah kepada murid-murid dan juga masyarakat sekeliling. Terkenal dengan sifat pemurah serta baik hati, beliau sangat disenangi bukan sahaja oleh warga sekolah malahan juga masyarakat sekeliling. Beliau akan mula bertugas di sekolah baru iaitu SK. Telisai manakala SK. Tungku pula akan ditadbir oleh Guru Besar baru dari SK. Anjung Teduh iaitu En. Marjan bin Hj. Bahajan yang menjadi Guru Besar  ke 17 dalam sejarah Guru Besar SK. Tungku sejak tahun 1947. Semoga beliau akan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki . Cuma Allah sahaja yang dapat membalas jasa-jasa  beliau kerana jasa yang beliau sumbangkan  tidak ternilai harganya. Terima kasih dan selamat berkhidmat di sekolah baru cikgu.











No comments:

Post a Comment