Saturday, May 25, 2013

Majlis Perpisahan Staf SK. Tungku, Cik Alminah bt Kiraman

Majlis Perpisahan salah seorang staf yang bertugas sebagai Pembantu Prasekolah, Cik Alminah telah diadakan pada hari khamis 23hb Jun 2013 iaitu sehari sebelum cuti persekolahan bermula. Majlis diadakan di pusat sumber sekolah dengan dihadiri hampir semua guru-guru dan staf SK. Tungku. Cik Alminah telah berkhidmat di sekolah ini sejak 2010 dan mendapat khabar pertukaran beliau dari Guru Besar pada selasa 21hb Jun. Beliau akan mula berkhidmat di sekolah baru iaitu SK. Loasong, Tawau selepas cuti sekolah ini. Watak yang ceria dan pandai membuat lawak jenaka adalah antara karekter beliau yang disenangi oleh semua staf dan guru di sekolah ini. Beliau mengikuti jejak dua rakan serumahnya yang telah berpindah sebelum ini iaitu Ustazah Dayang Maimun (2011) dan Pn Hjh. .Noor Kartini (2012). Suasana pada majlis perpisahan agak meriah dengan gurauan serta lawak jenaka yang sekali sekala diucapkan oleh Guru Besar, En. Marjan, para hadirin dan daripada orang yang diraikan iaitu cik Alminah sendiri. Berbeza dengan majlis perpisahan staf sebelum ini, suasana kesedihan kurang terasa mungkin kerana guru-guru dan staf mengenali beliau sebagai seorang yang kuat bergurau dan ceria. Walau bagaimanapun, kesedihan beliau kelihatan tidak tertahan selepas majlis makan mungkin kerana ia merupakan aktiviti terakhir untuk beliau berjumpa dengan rakan-rakan sepejuangan. Majlis dimulakan dengan kata-kata pembuka oleh juru acara majlis, En. Mohd. Erwin, bacaan doa oleh Ustaz. Abd. Muhaimin dan kata-kata aluan oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan diikuti ucapan salam perkenalan daripada Cik Marhani yang menggantikan beliau sebagai Pembantu Prasekolah yang baru. Cik Marhani merupakan bekas pelajar SK. Tungku. Cik Alminah seterusnya menyampaikan ucapan terakhir kepada rakan-rakan sebelum majlis makan dijalankan.















Berikut merupakan sedikit sedutan daripada ucapan Guru Besar, En. Marjan pada majlis tersebut. Video tersebut dapat dilihat dengan jelas melalui paparan HD 720 dan ke atas.


Kami semua di sini mengucapkan selamat bertugas dan semoga berjaya di sekolah baru.

Friday, May 17, 2013

Sambutan Hari Guru 2013 SK. Tungku

Sambutan Hari Guru tahun ini disambut meriah oleh guru-guru dan staf SK. Tungku. Bermula dengan sukaneka yang diadakan sehari lebih awal sebelum sambutan Hari Guru diadakan, kemeriahan dapat dirasai dengan penganjuran empat aktiviti yang diatur pada hari tersebut. Acara memasukkan bola dalam jaring, bowling kelapa, sambut belon berair dan bola tampar. Setiap acara diadakan secara berkumpulan kecuali sambut belon berair yang diadakan secara berpasangan. Sukaneka kelolaan En. Mazlan bermula jam 2.35 petang dimulai dengan acara memasukkan bola ke dalam jaring. Acara kedua bowling kelapa diikuti oleh acara sambut belon berair dan diakhiri dengan pertandingan bola tampar. Berikut merupakan antara beberapa gambar menarik sekitar sukaneka tersebut.
































Pada keesokannya (16 Mei 2013) seluruh warga SK. Tungku meraikan sambutan Hari Guru bersama-sama di bangunan Makmal Komputer sekolah. Majlis  Sambutan Hari Guru kali ini diadakan secara tertutup yang hanya melibatkan warga sekolah sahaja. Kemeriahan mula terasa sebaik sahaja murid masuk ke dalam makmal menantikan acara yang akan dipersembahkan. Majlis bermula dengan ucapan pengacara majlis, En. Erwin yang kemudiannya diikuti oleh bacaan doa oleh ustaz Abd. Muhaimin. Penolong Kanan Kokurikulum En. Abd. Hasim memulakan ucapan kata alu aluan sebelum Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan Hj. Bahajan membuat ucapan dan sekali gus merasmikan sambutan Hari Guru SK. Tungku bagi tahun 2013. Antara acara-acara yang dipersembahkan pada perayaan kali ini adalah ucapan Ketua Murid SK. Tungku, tayangan slide, cabutan bertuah untuk guru-guru dan murid, persembahan sajak "Jasamu dikenang", Penyampaian cendera kenangan kepada bekas staf SK. Tungku iaitu En. Mohd. Yusof, Persembahan Koir "Terima kasih cikgu", Persembahan nasyid, acara memotong kek, tarian igal-igal dan penyampaian anugerah guru. Acara memotong kek diadakan pada jam 10 pagi yang diadakan serentak di semua sekolah diseluruh negara. Paling menarik perhatian ialah acara anugerah guru yang mendapat sorakan paling meriah melalui beberapa kategori yang dipertandingkan. Guru-guru yang memenangi anugerah tersebut dipilih melalui undian terbanyak oleh murid-murid dan guru-guru.






































Majlis kemudian diakhiri dengan pertukaran hadiah antara guru-guru yang diadakan di pusat sumber sekolah. Guru-guru akan menyampaikan hadiah secara "berantai" iaitu memberi hadiah kepada guru yang terlibat secara bersambungan. Acara ini diadakan sebaik selesai pengagihan bunga telur untuk setiap murid yang hadir pada hari tersebut. Walaupun sambutan agak sederhana namun kemeriahan perayaan kali ini sangat dirasai melebihi kemeriahan yang diadakan sebelum ini. Semua guru hadir pada sambutan kali ini termasuk En. Eransha dan Pn Siti Norizam yang turut hadir biarpun lewat selepas kembali dari menghadiri peperiksaan PJJ di IPG Tawau. Syabas diucapkan kepada AJK penganjur dan semua guru-guru yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Guru peringkat SK. Tungku 2013. Terima kasih juga diucapkan kepada murid-murid yang memeriahkan lagi sambutan kali ini. Selamat Hari Guru kepada semua warga guru sama ada di SK. Tungku dan guru-guru diseluruh Malaysia.