Monday, March 5, 2012

Bola sepak bawah 12 tahun : Perlawanan persahabatan SK. Sri Darun lwn SK. Tungku

SK. Sri Darun telah menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan antara SK. Sri Darun lwn SK. Tungku. Rombongan pasukan SK. Tungku kali ini diiringi oleh Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Hasim, Ketua jurulatih, En. Awang Rozey, Ustz. Jam’aus, En. Mazlan, En. Nurulla dan En. Noradieh tiba di SK. Sri Darun lebih kurang jam 3 lebih petang. Kedatangan kami disambut oleh Penolong Kokurikulum SK. SrI Darun, En. Jamanie @ Ken dan jurulatih En. Mursain @ kin kin.

   









Sesi pemanasan badan berlangsung kira-kira 10 minit sebelum perlawanan dimulakan dengan dipantau dan diurus oleh jurulatih daripada kedua-dua pasukan.  Ini merupakan perlawanan persahabatan kedua bagi kedua-dua pasukan dalam usaha jurulatih memberi pendedahan serta memantapkan posisi setiap pemain. Perlawanan bermula agak rancak pada separuh masa pertama dengan SK. Tungku mendominasi permainan. Banyak percubaan-percubaan serta gerakan-gerakan dihasilkan oleh barisan serangan SK. Tungku namun ketangkasan penjaga gol SK. Sri Darun banyak menyelamatkan cubaan-cubaan bahaya pemain SK. Tungku. 











Biarpun para pemain SK. Sri Darun banyak bertahan namun serangan-serangan balas mereka hampir-hampir membuahkan hasil.  Beberapa serangan balas mereka nyata berbisa cuma dinafikan oleh ketumpulan barisan serangan dan kecekapan pemain pertahanan yang sempat menghalang bola dari menerjah  jaring. Keputusan separuh masa pertama berakhir SK. Sri Darun 0 – 0 SK. Tungku.

Perlawanan separuh masa kedua tambah rancak dengan sokongan masyarakat setempat menyokong pasukan SK. Sri Darun. SK. Tungku banyak melakukan gerakan-gerakan namun dapat dipatahkan oleh pemain-pemain pertahanan SK. Sri Darun.  Tambahan sokongan moral dari penyokong luar menyuntik semangat mereka menghalang serangan-serangan yang diatur oleh penyerang-penyerang SK. Tungku. SK. Sri Darun akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi satu hantaran jauh pemain pertahanan yang terus menyaksikan situasi 1 lawan 1 penyerang dengan penjaga gol.  Gol tersebut membakar  semangat  para pemain untuk memburu gol seterusnya. Buktinya beberapa serangan bahaya penyerang-penyerang melalui beberapa pemain berbakat SK. Sri Darun sering mengucar kacirkan pertahanan SK. Tungku cuma nasib saja tidak menyebelahi mereka. Ketinggalan 1 gol di belakang tidak melemahkan semangat pemain-pemain SK. Tungku untuk memburu gol penyamaan.  Namun begitu, usaha pasukan SK. Tungku untuk mencari gol penyamaan tampak sukar kerana keadaan padang yang agak mencabar dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah untuk mematahkan jentera serangan yang dirancang oleh pasukan SK. Tungku.  Perlawanan berakhir SK. Sri Darun 1 – 0 SK. Tungku.








Ia telah memberi pendedahan yang baik serta memberi pengajaran yang berguna kepada para pemain untuk bersedia menerima kekalahan. Ianya penting untuk membentuk ketahanan mental yang tinggi dikalangan pemain.  Para pemain perlu memahami bahawa setiap perlawanan ada kalanya menang dan ada kalanya kita kalah. Cuma kalah dengan semangat berlawan yang tinggi itu yang ingin diterapkan kepada para pemain.  Selain ingin membentuk ketahanan mental yang tinggi, kebolehan para pemain menyesuaikan diri dengan situasi padang juga ingin diterapkan agar mereka mudah memahami situasi yang sekali gus dapat mengatur rentak pemainan. Mendominasi sesuatu permainan bukanlah jaminan kemenangan sekiranya barisan serangan gagal memanfaatkan peluang. Jadi para pemain perlu berusaha lebih gigih mempertajamkan jentera serangan disamping memperkemaskan pertahanan sekiranya ingin pergi jauh dalam pertandingan pada 22 hb Mac nanti.  Selain itu, perlawanan ini juga menjadi medan untuk memilih pemain-pemain yang bakal di bawa beraksi pada kejohanan itu nanti.  Hasil daripada perbincangan antara Ketua jurulatih beserta dengan guru-guru yang terlibat selepas perlawanan tersebut, sebanyak 5 pemain akan digugurkan dan senarai terbaru akan diumumkan esok  sebagai persediaan menghadapi perlawanan persahabatan menentang SK. Sri Pantai di padang SK. Sri Pantai.




Perlawanan ini berjaya menarik sejumlah penonton luar yang datang menyaksikan perlawanan tersebut. Kehadiran mereka menghidupkan dan memeriahkan lagi suasana perlawanan. Seperti biasa, semangat kesukanan akan menjadi objektif utama dalam mana-mana perlawanan. Berjabat tangan selepas perlawanan oleh para pemain mahupun antara guru-guru bukan sekadar  syarat dalam mana-mana perjumpaan tetapi sebagai tanda persahabatan sentiasa dieratkan antara kedua-dua buah sekolah. Semoga perlawanan ini dapat mematangkan para pemain SK. Tungku agar bermain dan berusaha lebih gigih lagi selepas ini. Ucapan syabas diberikan kepada kedua-dua pasukan kerana berjaya menganjurkan perlawanan ini. 

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. thania kepada anak2 sekolah sk sri darun d arena masa kini,harapan insyah Allah skolah kita bole pergi lebih tinggi dlm bidang sukan dn pelajaran seiring level nya dngan sekolah2 ternama d malaysia,,d kesempatan ini sya ingin mengucap kn terima kasi kepada cikgu salehan,cikgu raymond,cikgu yatin,cikgu kamal,cikgu roslinan,cikgu rabiah,cikgu norlin,cikgu slayvister dn lain-lain yg mengajar sya dan kawan-kawan seperjuangn d thun (2001-2006),perjuangn mu ku banggakn hingga sekarang,jasa mu mengajar sya dan sahabat2 saya amat bernilai,,moga tuhan saja yg dpat membalas jasa2 cikgu2 semua,
    aminn..
    #lucius bn hermanto
    (2001-2006)

    ReplyDelete