Tuesday, October 30, 2012

Kempen Jam Bumi (Earth Hour) dan Fire Drill SK. Tungku

Kempen Jam Bumi (Earth Hour ) telah diadakan pada selasa lalu 23 Oktober 2012 dengan jayanya. Sambutan murid-murid terhadap program ini amat memberangsangkan apabila setiap pelajar menjalankan peranan mereka dengan menanam tumbuhan (tahap 2) dan membersihkan kawasan sekolah (tahap 1). Program bermula selepas rehat dengan setiap kelas diiringi oleh guru yang mengajar mata pelajaran di kelas tersebut.













Murid-murid telah diberi taklimat sehari sebelum aktiviti bermula yang mana guru menerangkan apakah tujuan aktiviti tersebut sambil menerapkaan nilai cintakan alam sekitar secara tidak langsung kepada murid-murid. Tanaman yang di bawa oleh murid-murid ditanam dihadapan kelas dan di tepi laluan jalan kaki. Murid-murid tahap satu pula diiringi oleh guru mata pelajaran masing-masing membawa mereka membersihkan kawasan sekolah sebagai sebahagian daripada penerapan nilai murni menjaga kebersihan alam sekitar. Ketika murid-murid dan guru-guru sibuk menjalankan aktiviti tersebut, siren kecemasan tiba-tiba dibunyikan menyebabkan timbul suasana panik dikalangan murid-murid.














Siren kecemasan tersebut merupakan latihan 'Fire Drill' kedua yang diadakan dalam keadaan yang tidak dirancang selepas latihan pertama diadakan awal pagi tadi. Ustaz Jam'aus yang bertindak membunyikan siren tanpa pengetahuan murid-murid dan beberapa guru lain berjaya mengamatkan suasana apabila murid-murid berlari ke tempat perlindungan yang dirancang. Penyelaras program En. Mazlan Mansyur kemudian memberi taklimat kali kedua kepada murid-murid dengan menegaskan betapa pentingnya sikap berwaspada sentiasa diamalkan serta mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Setelah latihan kecemasan selesai, siren kedua dibunyikan menandakan semua murid boleh kembali ke kelas masing-masing. Dua aktiviti besar berjaya dilaksanakan pada hari tersebut. Diharap dengan berakhirnya program tersebut, murid dapat meningkatkan kesedaran betapa pentingnya mengekalkan suhu dunia dan pentingnya keselamatan semasa berada di kawasan sekolah.

Thursday, October 18, 2012

Minggu peperiksaan semester kedua 2012

Keadaan sekolah agak sunyi minggu ini apabila murid-murid menghabiskan masa di dalam kelas menjawab soalan-soalan peperiksaan. Peperiksaan berlangsung selama 4 hari bermula selasa hingga jumaat. Kemahiran menjawab murid-murid diuji buat kali kedua tahun ini selepas menghadapi peperiksaan yang sama mei lalu.




Esok merupakan hari terakhir minggu peperiksaan semester kedua tahun ini. Guru-guru khasnya guru-guru kelas mula sibuk menguruskan fail-fail murid (Rekod profil murid, Kad 001R) selain menyiapkan data keputusan peperiksaan yang  diberikan oleh guru-guru subjek. Data-data ini juga akan digunakan oleh jawatankuasa pemilihan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah yang akan diadakan pada bulan november nanti. Kepada murid-murid yang akan menghadapi hari terakhir peperiksaan esok diucapkan semoga berjaya dan berilah jawapan terbaik bagi setiap soalan yang diberi. 

Wednesday, October 17, 2012

Majlis sambutan hari jadi Prasekolah SK. Tungku

Majlis sambutan hari jadi Prasekolah SK. Tungku telah diadakan dengan jayanya tadi bertempat di Prasekolah SK. Tungku. Majlis bermula jam 9.30 pagi tadi mendapat sambutan sangat memberangsangkan dari ibu bapa murid yang datang memeriahkan majlis tersebut. Beberapa orang murid merayakan hari jadi pada hari tersebut dan diraikan secara bersama dengan rakan-rakan lain.




Majlis ini dapat menyemai nilai kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak. Penganjuran majlis ini juga membolehkan guru mendedahkan secara tidak langsung pengalaman kepada murid-murid merasai suasana majlis hari jadi yang boleh menjadi pengalaman berguna kepada mereka ketika melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah rendah nanti. Majlis berakhir sekitar jam 11 pagi.

Tuesday, October 9, 2012

Mesyuarat Hari Anugerah Kecemerlangan SK. Tungku 2012

Mesyuarat persiapan Hari Anugerah Kecemerlangan peringkat sekolah telah diadakan tengah hari tadi bertempat di Pusat Sumber sekolah. Mesyuarat dipengerusikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum ini membincangkan tentang pembahagian tugas serta persiapan yang perlu sebelum majlis tersebut berlangsung. Banyak hal dan permasalahan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh Guru Besar, En. Marjan Hj. Bahajan, Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak, Penolong Kanan HEM, Pn. Hjh Umai Kalsom dan staf sekolah.





Turut dibincangkan ialah persiapan Hari Perkhemahan peringkat sekolah yang dijadualkan berlangsung pada 2,3 dan 4 haribulan November ini. Beberapa permasalahan timbul dalam perbincangan tersebut antaranya bilangan khemah yang tidak mencukupi, perubahan lokasi aktiviti kembara, dan beberapa perkara lain dibincangkan bersama dan mendapat penyelesaian baik hasil perbincangan yang mengambil kira pro dan kontra isu tersebut.



Perbincangan berkenaan persiapan Hari Perkhemahan ini akan dibincangkan lagi pada mesyuarat akan datang. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 2.30 petang.

Thursday, October 4, 2012

Program Kesihatan SK. Tungku

Beberapa kakitangan daripada bahagian Klinik Pergigian telah mengadakan program kesihatan gigi bagi murid-murid SK. Tungku bermula awal minggu ini. Beberapa program telah diatur oleh para kakitangan kesihatan ini yang melibatkan murid-murid dari tahun 1 hinggalah tahun 6. Antara program yang dijalankan ialah menerangkan kepada murid secara teori dan amalan memberus gigi dengan betul, memeriksa dan menampal atau mencabut gigi yang rosak, pameran slide kesihatan gigi dan lain-lain.



Program tahunan Klinik Pergigian ini mendapat sambutan baik daripada murid-murid yang mana majoritinya  berjaya memberanikan diri mereka menghadapi jururawat-jururawat tersebut. Diharap program ini dapat memberi ilmu pengetahuan yang berguna kepada murid-murid untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.