Thursday, February 23, 2012

Kejohanan Olahraga MSS Sekolah Rendah Daerah Lahad Datu 2012

Kejohanan Olahraga MSS Sekolah Rendah Daerah Lahad Datu 2012 akhirnya dirasmikan. Kejohanan yang berlangsung selama 2 hari itu menyaksikan 42 buah sekolah bertanding dan melibatkan sebanyak 87 orang pegawai yang bertanggungjawab memastikan perjalanan sukan kali ini berjalan dengan lancar. Upacara perasmian dilakukan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Lahad Datu, En. Umin Bin Sadi. SK. Anjung Teduh di pilih menjadi tuan rumah bagi sukan MSSDLD kali ini selepas kejohanan yang sama diadakan di Padang Bandaran Lahad Datu tahun lepas. 

Beberapa hari sebelum kejohanan berlangsung, para atlit telah membuat persiapan dan taklimat teakhir daripada ketua jurulatih En. Awang Rozey. Persiapan dan kawat terakhir juga telah diadakan pasukan perbarisan sekolah yang dibimbing oleh Pn. Ruswin.




Pasukan SK. Tungku menghantar beberapa atlit dan peserta bagi menyertai beberapa acara iaitu perbarisan, lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, lari 100 meter, 4 X 100 dan 4 X 200 meter.  Beberapa orang guru SK. Tungku juga turut terlibat dalam AJK pertandingan seperti Ketua Hakim Balapan ( Ustaz. Jam’aus Shahir), penolong bahagian statistic (En. Noradieh Kadis) dan Penolong Setiausaha 1 kejohanan (En. Henry Rahman).  Guru-guru pengiring pula terdiri daripada Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Hasim, Pengurus pasukan, En. Jabridin, Ketua jurulatih, En. Awang Rozey, pengurus bahagian perbarisan, En. Rizali, Pn. Rosita dan Ruswin serta Pn. Kartini dan Cik Nurul. Sebanyak 4 buah kereta digunakan untuk menghantar murid dari sekolah ke tempat kejohanan berlangsung.











Para peserta mula berkumpul dan mendirikan khemah untuk pasukan masing-masing seawal jam 6 lebih.  Perbarisan bermula lebih kurang jam 8 lebih selepas ketibaan Pegawai Pelajaran Daerah dan diikuti dengan upacara perasmian dan nyalaan obor kejohanan. Acara bermula dengan saringan 100 meter pecut lelaki dan perempuan disamping acara lontar peluru, dan lompat tinggi yang diadakan agak serentak. Peserta lontar peluru SK. Tungku memberi saingan kepada peserta dari sekolah lain apabila layak ke pusingan akhir. Acara 100 meter juga tidaklah menghampakan biarpun gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.  Mereka berjaya memberi saingan dengan mendapat tempat ke-2, cuma dibezakan dengan catatan masa sahaja dengan peserta-peserta lain.













Paling membanggakan pasukan kuartet 4 X 100 meter  serta pasukan kuartet 4 X 200 meter lelaki dan perempuan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir  yang diadakan pada hari kedua kejohanan. Meskipun kuartet tidak memenangi apa-apa pingat tetapi mereka tetap memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan yang bertanding.











Selain daripada para pengurus, ketua jurulatih serta pegawai-pegawai kejohanan sibuk mengurus acara-acara serta dokumen-dokumen setiap peserta, ianya juga menjadi pentas untuk bertemu dengan rakan-rakan sama ada dari sekolah dekat mahupun jauh.  Rakan ini pula terdiri daripada bekas rakan sekerja dari sekolah yang sama, rakan-rakan semasa sama-sama belajar ketika di maktab, kenalan sejak dari sekolah menengah mahupun rakan-rakan memang dikenali kerana sering kali berjumpa di kursus-kursus ataupun anjuran-anjuran seperti kejohanan sukan dan lain-lain. Tidak ada sebarang masalah besar dalam penganjuran kali ini. Semua masalah dapat diselesaikan dengan berhemah dan dipersetujui oleh pasukan-pasukan yang sekali sekala datang ke meja Unit Statistik untuk membantah 1-2 keputusan yang diragui statusnya.


















Jadi, selain daripada memupuk semangat bersaing serta nilai-nilai murni ketika bersukan dikalangan murid-murid, ianya juga mengeratkan ikatan persahabatan yang telah wujud serta  mewujudkan persahabatan baru dengan rakan-rakan sekerja dari sekolah lain. Tekanan kerana kekalahan tidak lah menjadi isu utama dalam kejohanan ini. Apa yang penting kerja sama yang diberi oleh setiap individu yang terlibat bagi menjayakan kejohanan kali ini. Tahniah kepada pasukan SK. Tanjung Labian kerana menjadi juara keseluruhan untuk edisi sukan kali ini.



No comments:

Post a Comment