Tuesday, February 28, 2012

Bola sepak bawah 12 tahun : Perlawanan Persahabatan SK. Telisai lwn SK. Tungku

Pada 27hb Febuari, satu perlawanan persahabatan antara pemain bola sepak bawah 12 tahun SK. Tungku dan SK Telisai telah diadakan bertempat di padang SK. Telisai. Perlawanan persahabatan ini diatur oleh kedua-dua jurulatih iaitu En. Awang Rozey (SK. Tungku) dan En. David (SK. Telisai) bagi menguji potensi para pemain dan menjadi ujian serta pendedahan awal kepada para pemain sebelum beraksi pada perlawanan peringkat daerah nanti. Pasukan SK. Tungku bergerak dari sekolah sekitar jam  2 lebih. Para pemain SK. Tungku diiringi oleh Penolong Kanan Kokurikulum, En Abd. Hasim, Ustaz Jama’us, En. Noradieh , En. Nurulla selain jurulatih pasukan En. Awang Rozey.  En. David serta beberapa guru dari SK. Telisai turut menjadi pengiring pasukan selain menjadi pengadil perlawanan tersebut.




Biarpun perlawanan berlangsung dalam suasana mendung tetapi ianya tidak menghalang kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik mereka di atas padang.  Perlawanan bermula sekitar jam 3 lebih dengan pasukan SK. Telisai terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil daripada lorongan sepakan percuma. Perlawanan separuh masa pertama berakhir  SK. Telisai 1-0 SK. Tungku. Perlawanan separuh masa kedua bermula rancak dengan jurulatih tiap-tiap pasukan sering menukar pemain bagi mencari posisi terbaik selain menguji kemampuan pemain tersebut di atas padang. 








Pemain tengah SK. Tungku, adik Abd. Rashid berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk SK. Tungku hasil lorongan dari tepi oleh pemain sayap, Suhaimi.  Perlawanan semakin rancak dengan tiap pasukan saling berbalas serangan. Sekali sekala kedua-dua pasukan hampir menjaringkan gol cuma nasib saja yang tidak menyebelahi mereka. SK. Tungku berjaya mendapatkan gol kedua menerusi Mohd. Fauzan Yusof hasil hantaran lintang di depan pintu gol oleh Abd. Rashid yang juga bertindak sebagai ketua pasukan. Gol kedua itu tidak mematahkan semangat para pemain SK. Telisai untuk memburu gol penyamaan namun masa tidak mengizinkan apabila  perlawanan berakhir  SK. Telisai 1-2 SK. Tungku.








Objektif utama perlawanan ini bukan lah untuk mencari kemenangan semata-mata tetapi menjadi pentas terbaik mendedahkan para pemain supaya tidak merasa kekok di atas padang  kerana keadaan serta suasana perlawanan agak berlainan dengan suasana ketika latihan. Ia juga sebagai pendedahan awal sebelum kejohanan sebenar berlangsung. Apa-apa pun keputusan sama ada kalah atau menang ianya dapat memberi gambaran awal kepada jurulatih mengesan kelemahan yang ada pada pasukan. Melalui perlawanan sebeginilah para jurulatih dapat mengkaji kelemahan serta dapat mempersiapkan sebuah pasukan yang lebih mantap pada kejohanan peringkat daerah nanti.  Selain itu, perlawanan  seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan antara guru-guru SK. Tungku dan SK. Telisai dan memupuk semangat kesukanan yang tinggi dikalangan para pemain secara amnya. Kehadiran Guru Besar SK. Telisai , En. Wandy menyaksikan perlawanan ini juga bukti sokongan terhadap usaha kedua-dua  sekolah meningkatkan mutu sukan di sekolah masing-masing. Diucapkan syabas kepada kedua-dua pasukan kerana berjaya menganjurkan perlawanan persahabatan ini.




No comments:

Post a Comment