Saturday, October 19, 2013

Aktiviti sepanjang tahun : HUTAN - Kinabatangan Orang Utan Conservation Programme

HUTAN merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diasaskan pada 15 hb Januari 1996 oleh seorang primatologist, Dr. Isabelle Lackman dan vetenarian hidupan liar Dr. Marc Ancrenaz di Perancis. Pertubuhan ini bertanggungjawab dalam projek pemuliharaan Orang Utan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah. Pertubuhan ini telah mengadakan pameran dan karnival di beberapa sekolah bagi memberi maklumat berkaitan dengan hidupan liar, kepentingan hidupan liar, perlindungan hidupan liar dalam aspek perundangan dan lain-lain. Pada 25 hb September lalu, SK. Tungku bertuah kerana menjadi salah satu lokasi karnival pertubuhan tersebut. Pelbagai aktiviti diadakan semasa program tersebut antaranya sesi ceramah dan tayangan slide kepentingan hidupan liar, pameran rangka haiwan dan serangga, pameran gambar-gambar hidupan liar dan tayangan video. Semua murid terlibat dalam aktiviti ini dan diadakan secara bergilir mengikut tahap. Murid-murid prasekolah juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam aktiviti ini apabila kakitangan HUTAN memberi penerangan tentang hidupan liar disertai aktiviti membuat topeng yang dilaksanakan di bangunan Prasekolah. Aktiviti dimulakan dengan penerangan secara slide mengenai hidupan liar di dewan makmal. Kemudian murid-murid akan bergerak ke kelas tahun 2 Cemerlang yang mana pameran rangka haiwan dan serangga dijalankan. Selepas itu murid akan berkumpul semula selepas waktu rehat untuk sesi tayangan video dan lakonan khas model harimau yang dimainkan oleh salah seorang murid sekolah dengan bantuan kakitangan HUTAN. 






































Guru-guru juga berpeluang mendengar penerangan tentang hidupan liar semasa pameran dijalankan. Ia juga memberi peluang kepada guru-guru bertanyakan soalan kepada kakitangan yang bertugas tentang kemuskilan-kemuskilan yang timbul berkaitan dengan hidupan liar dari aspek perundangan dan juga maklumat-maklumat yang berkaitan. Sesi ceramah yang dijalankan oleh kakitangan HUTAN menarik dan mendapat perhatian murid-murid kerana diselang-selikan dengan sesi soal jawab serta pemberian hadiah kepada murid-murid yang menjawab soalan dengan betul. Para kakitangan HUTAN juga memberi penerangan kepada murid-murid ketika murid-murid berada di dalam bilik pameran. Semua aktiviti berjalan dengan lancar dan teratur. Pertubuhan tersebut berjaya mencapai objektifnya menyampaikan maklumat kepada guru-guru dan murid-murid sekolah betapa pentingnya menjaga hidupan liar daripada bahaya kepupusan. Program diakhiri dengan pemberian tanaman daripada kakitangan HUTAN kepada Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros yang mewakili Guru Besar dan warga SK. Tungku amnya. Diharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi memberi maklumat serta pendedahan berguna kepada warga sekolah. Program berakhir pada jam 1.10 petang. Bagi pengetahuan lanjut mengenai pertubuhan ini boleh layari www.hutan.org.my. 

No comments:

Post a Comment