Sunday, April 1, 2012

Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Zon Tungku 2012

Kejohanan Bolasepak Bawah 12 tahun telah pun berjaya dilangsungkan pada 21 hingga 22 hb Mac 2012. SK. Telisai merupakan tuan rumah bagi kejohanan  kali ini. Sebanyak 10 pasukan berentap dengan dalam dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B. Sistem liga digunakan dan SK. Tungku berada dalam kumpulan B bersama-sama pasukan SK. Cenderawasih, SK. Fajar Harapan, SK. Sahabat 16, dan SK. Lok Buani. Semua pasukan bermain dalam keadaan padang yang agak mencabar kerana para pemain terpaksa bermain dalam keadaan padang sebelah berlumpur. Stamina serta semangat dan strategi setiap pasukan teruji kerana para pemain perlu menggunakan usaha yang lebih bagi mengawal permainan terutama di kawasan berlumpur. Namun ianya bukan lah sebab untuk  menganggu kerancakan dan kelancaran jadual perlawanan.



 Pasukan SK. Tungku yang diiringi oleh jurulatih En. Awang Rozey , pengurus pasukan, Ustaz. Jam’aus dan pembantu jurulatih En. Normin memulakan perlawanan dengan baik dengan mencatatkan kemenangan ke atas SK. Cenderawasih 1 -0. Pasukan SK. Tungku berjaya mencatatkan kemenangan ke dua pada sebelah petang ke atas SK. Lok Buani 1-0 dan mengakhiri jadual hari pertama dengan seri 0-0 dengan pasukan SK. Fajar Harapan. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan SK. Tungku seri dengan SK. Sahabat 16 pada perlawanan sebelah pagi di hari kedua kejohanan sekaligus meletakkan SK. Tungku sebagai juara kumpulan B. Manakala tempat kedua ialah pasukan SK. Fajar Harapan. Dalam kumpulan A pula menyaksikan pasukan SK. Tanjung Labian mengungguli kedudukan dengan diikuti oleh pasukan SK. Anjung Teduh .

Perlawanan pada hari kedua ini sengit kerana 4 pasukan ini berentap untuk memburu tempat ke perlawanan akhir. Pasukan SK. Tanjung Labian telah menempah tempat ke perlawanan akhir apabila menundukkan pasukan SK. Fajar Harapan manakala pasukan SK. Tungku dikecewakan oleh pasukan SK. Anjung Teduh. Perlawanan tempat 3 dan keempat menyaksikan perlawanan antara SK. Tungku menentang SK. Fajar Harapan yang menyaksikan perlawanan berlanjutan hingga ke sepakan penalti. Pasukan SK. Fajar Harapan menang perlawanan tersebut 4-3 sekaligus menduduki tempat ketiga pada kejohanan kali ini. Pasukan SK. Tanjung Labian menjadi johan pada kejohanan kali ini selepas menundukkan pasukan SK. Anjung Teduh 1-0 menerusi sepakan penalti dalam waktu perlawanan.  Tahniah kepada pasukan SK. Tanjung Labian kerana menjadi juara kejohanan edisi 2012 ini. Kepada pasukan-pasukan yang tidak berjaya, jangan putus asa dan diharap semangat melahirkan sebuah pasukan mantap dapat diteruskan untuk menghadapi kejohanan akan datang. Bagi SK. Tungku, diucapkan tahniah dan syabas kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika beraksi dengan pasukan-pasukan lain.  Syabas juga kepada guru-guru SK. Tungku yang datang memberi sokongan kepada pasukan pada hari pertama kejohanan. Kehadiran Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan dan Penolong Kanan Kurikulum , En Idros juga Penolong Kanan Kokurikulum En. Abd. Hasim menyemarakkan lagi kem pasukan SK. Tungku. Ucapan syabas juga diucapkan kepada ibu bapa pemain pasukan SK. Tungku yang turut sama bersorak menaikkan semangat pasukan di luar padang. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada para pemain SK. Sri Darun dan krew-krew pasukan kerana turut memberi sorakan semangat kepada pasukan SK. Tungku.









Diharap semangat kesukanan sentiasa mewarnai suasana kejohanan akan datang. Berikut merupakan antara gambar-gambar yang sempat dirakam pada hari pertama kejohanan tersebut.





















































Kejohanan Bola Sepak antara zon baru sahaja berakhir. Tahniah kepada barisan pemain zon Tungku kerana memberi cabaran sengit sebelum tumpas 2-3 kepada zon Silabukan dalam perlawanan terakhir mereka. Sebelum itu pasukan zon Tungku telah mencatatkan kemenangan besar dalam dua perlawanan sebelumnya  (menang 4-0 ke atas Zon Bandar dan sekali lagi kemenangan 4-0 menentang Zon Segama.). Secara keseluruhan Zon Tungku menduduki tempat kedua. Ia merupakan petanda baik bahawa Zon Tungku mampu menjuarai kejohanan ini pada masa akan datang. 


No comments:

Post a Comment