Friday, May 27, 2011

Majlis perpisahan Pen. Kanan Kokum Cik Rosdah dan Hari Sebelum cuti

Pada 26hb Mei lalu, Kelab Staf SK. Tungku telah mengadakan majlis perpisahan untuk Penolong Kanan Ko Kurikulum SK. Tungku, Cik Rosdah.Majlis yang diadakan di pusat sumber sekolah itu berlangsung pada jam 11.50 pagi. Majlis dipengerusikan oleh pengerusi Kelab Staf SK. Tungku iaitu Cik Nurul Shahrinah. Turut memberi ucapan pada majlis tersebut ialah Penolong Kanan Kurikulum En. Idros A. Kampak selaku wakil Guru Besar pada majlis tersebut. Cik Rosdah akan memulakan tugas secara rasminya selepas cuti sekolah ini di SK. Silam, Lahad Datu.











Perpindahan beliau merupakan satu kehilangan besar bagi SK. Tungku. Namun begitu, sikap bertanggungjawab, cekap, telus, toleransi, prihatin dan sifat beliau yang disenangi oleh rakan-rakan akan sentiasa di kenang dan dicontohi oleh warga SK. Tungku. Jutaan terima kasih kami ucapkan.
Pagi tadi juga merupakan hari terakhir persekolahan. Satu perhimpunan diadakan sebelum murid-murid balik bercuti. Mereka diarahkan untuk  mengemaskan meja kerusi di dalam kelas. Nasihat juga telah diberikan bagi mengingatkan murid-murid supaya tidak terlalu leka sehingga melupakan pelajaran yang telah diajar. Perhimpunan tadi juga memberi  kesempatan untuk Penolong Kanan Ko Kurikulum memberi nasihat dan ucapan terakhir kepada murid-murid SK. Tungku.




Guru-guru juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bercuti kepada kawan-kawan. Selamat sampai kepada rakan-rakan guru yang dalam perjalanan balik sekarang ini dan pandu la dengan berhati-hati. Selamat bercuti!

Monday, May 23, 2011

SK. Tungku waktu malam

Jarang dilihat pemandangan sekolah pada waktu malam kerana sunyi, gelap dan ada ketikanya anjing menyalak panjang. Namun begitu , sebenarnya pemandangan sekolah pada waktu malam adakalanya agak unik untuk diperhatikan. Baru-baru ini saya merakam beberapa gambar di sekitar sekolah. Gambar yang dihasilkan agak unik untuk diperhatikan.







Cahaya bulan banyak membantu dalam menimbulkan keunikan pada gambar ini. Sedikit perubahan setting yang dibuat pada kamera membolehkan gambar ini nampak terang pada waktu malam.

Saturday, May 21, 2011

Candid sebelum sesi bergambar

Sambutan Hari Guru sudah berlalu namun semangat untuk meneruskan perjuangan sebagai seorang guru tetap diteruskan. Kemeriahan yang dirasakan masih kekal biar pun sudah 5 hari sambutan berlalu. Kesemua aktiviti yang dijalankan berjalan dengan lancar termasuklah sesi bergambar pada awal pagi serta sesi bergambar bersama Penolong Pegawai Daerah Cawangan Tungku. Pelbagai gelagat dan aksi sempat di rakam sebelum gambar secara rasmi diambil.

Berikut pula candid ketika sesi bergambar bersama Penolong Pegawai Daerah Cawangan Tungku.










Apa pun tahniah diucapkan kepada semua guru-guru SK. Tungku yang bersama-sama menjayakan aktiviti dan sambutan Hari Guru 2011.

Friday, May 6, 2011

Motivasi Keibubapaan dan Kecemerlangan Murid & Perjumpaan Sempena Hari Guru peringkat sekolah

Program Motivasi Keibubapaan dan Kecemerlangan Murid telah berjaya dilaksanakan pada 5hb Mei dengan kehadiran memuaskan di kedua-dua dewan yang menempatkan Ibu bapa dan murid-murid dari tahun 5 dan 6. Majlis yang diadakan hampir serentak itu dirasmikan oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Ahmad Sallehan bin Arifin. Seramai dua penceramah dari Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK. Tungku dijemput untuk memberi ceramah pada program tahun ini. Penolong Kanan Kurikulum En. Idros, Penolong Kanan HEM Hjh. Pn. Umai kalsum juga memberi ucapan sebelum majlis perasmian yang dilakukan oleh Guru Besar .










 Majlis ini dipengerusikan oleh En. Awang Rozey bin Abdullah manakala dewan yang menempatkan murid-murid tahun 5 dan 6 pula dipengerusikan oleh Pn. Siti Norizam bt Hasim. Selepas sahaja Guru Besar selesai memberi ucapan, penceramah jemputan seterusnya mengambil tempat untuk memulakan sesi ceramah selama sejam bersama ibu bapa. Pada dewan kedua pula, penyelaras program yang juga Guru Kaunseling SK. Tungku, En. Abdul Hakim bin Abdul Rajak memulakan sesi ceramah bersama murid-murid sebelum penceramah jemputan mengisi slot seterusnya.










 Murid-murid ternyata terhibur dengan penyampaian para penceramah dan diharapkan ianya memberi kesan positif serta kesedaran tentang pentingnya pelajaran kepada mereka. Bagi ibu bapa pula, kerjasama mereka sangat diperlukan bagi memastikan disiplin anak-anak mereka terkawal di samping dapat memantau perkembangan akademik serta ko-kurikulum anak-anak mereka.





Majlis berakhir sebelum jam 12 tengah hari lebih awal dari jadual bagi memberi ruang kepada guru-guru menghadiri taklimat Hari Guru peringkat sekolah. Perjumpaan ini diadakan bagi membincangkan perancangan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sebelum hari sambutan rasmi yang diadakan pada 16 Mei ini. Aktiviti yang pernah dijalankan tahun lepas seperti pertukaran hadiah, memancing tepi pantai dan juga sukaneka sekali lagi mendapat tempat untuk dimasukkan ke dalam senarai aktiviti yang akan di buat bagi memeriahkan suasana Hari Guru peringkat sekolah tahun ini. Majlis juga sebulat suara bersetuju menjemput bekas staf SK. Tungku yang baru berpindah tahun ini iaitu En. Alimin dan Pn. Aishah untuk menghadiri aktiviti beriadah di tepi pantai bersama keluarga. 







Perjumpaan berakhir lebih kurang jam 1 petang. Sila kunjungi laman web SK. Tungku untuk koleksi gambar-gambar lain Program Motivasi Keibubapaan dan Kecemerlangan Murid SK. Tungku 2011.