Sunday, December 1, 2013

Memori 2013: Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SK. Tungku

Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SK. Tungku telah diadakan dengan meriah di dewan serba guna SK. Tungku pada khamis 14hb November lalu. Sambutan kali ini menyamai sambutan Hari Kecemerlangan pada tahun 2011 cuma pada kali ini guru-guru memakai baju kot untuk edisi 2013. Segala persiapan telah diatur dengan rapi sejak awal dan raptai telah diadakan pada hari rabu bagi memastikan semua aktiviti yang diatur berjalan lancar. Hiasan dewan tersergam indah hasil persiapan rapi AJK-AJK yang terlibat. En. Rosli Bin Basri menjadi tetamu terhormat mewakili pihak Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu disamping Ketua Balai Polis Tungku, Wakil dari Klinik Kesihatan Tungku dan Guru Besar SK. Anjung Teduh dan beberapa tetamu terhormat yang lain. Majlis bermula sebaik tetamu terhormat, En. Rosli Basri tiba ke dewan. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Maju Jaya, seterusnya pengacara bertugas, En. Mohd. Erwin mengemudi majlis dan memulakan aturcara dengan dimulai bacaan doa oleh Ustaz Abd. Muhaimin, ucapan alu-aluan oleh wakil PIBG En. Azman Kahar, seterusnya ucapan dari Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan diikuti oleh ucapan daripada tetamu terhormat iaitu Pegawai Pendidikan Daerah Lahad Datu, En Rosli Basri. Majlis diserikan dengan persembahan pertama oleh pelajar Prasekolah yang membaca buku cerita dalam Bahasa Inggeris dan diikuti oleh penyampaian hadiah bagi murid-murid yang mendapat pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.




























Acara kemudian diselangselikan dengan persembahan nyanyian oleh murid-murid tahun 6 yang menyanyikan dua buah lagu iaitu Sahabat Selamanya dan Terima Kasih Cikgu. Acara seterusnya pemberian sijil penghargaan kepada Ketua-ketua kelas, Penolong Ketua kelas dan pengawas-pengawas. Persembahan tarian tradisional oleh murid-murid memukau perhatian para penonton dengan bakat tarian yang dipersembahkan oleh mereka. Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk guru-guru dan staf menyusul dengan En. Mohd. Jama'us menjadi Guru Kurikulum Terbaik, En. Mazlan untuk Guru Kokurikulum Terbaik, Pn. Hjh. Umai Khalsom untuk Guru Terbaik HEM dan Pn. Zuraidah untuk Staf Terbaik. Sijil Penghargaan juga diberikan kepada bekas murid-murid SK. Tungku bagi mengenang jasa mereka lulus peperiksaan UPSR tahun 2012 diikuti oleh pemberian sijil kenangan atau tamat persekolahan kepada murid-murid tahun 6 tahun ini. 

































Majlis edisi kali ini menampilkan persembahan yang berbeza berbanding majlis yang pernah dianjurkan sebelum ini. Persembahan nyanyian oleh guru-guru bermula dengan nyanyian solo oleh En. Mazlan dan En. Wan Mohd. Malieki diiringi oleh pemain muzik ( En. Mohd. Erwin bermain drum (digital), En. Nurulla bermain keyboard dan En. Normin bermain gitar) diadakan pada bahagian akhir majlis tersebut mengamatkan suasana sambutan  pada majlis tersebut. Beberapa buah lagu dinyanyikan antaranya Sandiwara Cinta dan Aku yang dulu. Akhir sekali, persembahan yang menyentuh hati, nyanyian Kenangan Terindah oleh kesemua guru-guru dan staf termasuk Guru Besar, En. Marjan, Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros, Penolong Kanan HEM, Pn. Hjh. Umai Kalsom dan Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd Hasim sebagai ketua nyanyian koir menjadi penutup majlis tersebut. 












Suasana gembira, sedih, pilu mewarnai majlis edisi 2013 ini. Tahun ini merupakan tahun terakhir bagi Pn. Hjh. Umai Kalsom bersama warga SK. Tungku meraikan Majlis Hari Kecemerlangan. Beliau akan bersara bermula Februari tahun hadapan. Terdapat juga beberapa orang guru yang kemungkinan akan menyusul meninggalkan sekolah untuk berkhidmat di tempat lain. Walau apa pun yang berlaku, suasana sekolah ini pasti akan sentiasa diingati kerana keakraban sesama staf sangat baik dan jarang berlaku di mana-mana tempat. Ucapan syabas kepada barisan AJK yang berjaya menjadikan Majlis pada tahun ini antara yang terbaik pernah dianjurkan. Tahniah juga diucapkan kepada guru-guru dan staf yang berjaya dipilih menjadi kakitangan terbaik tahun 2013. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada murid-murid yang berjaya. Diharap kenangan pada tahun 2013 ini akan menjadi panduan dan pembakar semangat untuk lebih berjaya di tahun 2014. 

No comments:

Post a Comment