Monday, August 20, 2012

Detik-detik sebelum cuti raya

Suasana hari raya sudah terasa biarpun ada beberapa hari lagi pengumuman tarikh hari raya dibuat. Walaupun begitu pengajaran dan pembelajaran tetap berjalan seperti biasa dan kehadiran pelajar tetap diambil kira terutamanya ketika menghampiri cuti raya. Tidak hairan lah kenapa perhimpunan diadakan pada hari rabu, hari teakhir persekolahan bagi mengelak murid "cuti" awal sekiranya diumumkan pada perhimpunan isnin. Beberapa persiapan dibuat sebelum menjelangnya cuti. Ada diantaranya menyiapkan hadiah berupa sumbangan kepada anak-anak yatim pada perhimpunan pagi rabu nanti. Suasana agak biasa bagi guru-guru lain. Masing-masing mengurus masa yang terluang dengan membuat kerja.




Selain berbuka puasa di rumah, ada kalanya kami berbuka puasa di bandar bersama rakan-rakan selepas seharian menguruskan apa-apa perkara yang perlu dibereskan sebelum cuti. Suasana pagi rabu sangat baik. Murid-murid berkumpul di tapak perhimpunan bagi mendengar maklumat terkini terutamanya pengumuman cuti sekolah bermula khamis (16 Ogos) dan dibuka semula pada isnin (27 Ogos). Penyampaian wang sumbangan kepada anak-anak yatim juga dijalankan selain ucapan daripada guru-guru sempena menjelang hari raya.










Sebagai menghayati dan memeriahkan lagi suasana hari raya yang bakal menjelma, bermaaf-maafan sesama guru-guru dan murid-murid diadakan dan seperti biasa ianya berlaku pada penghujung masa persekolahan. Sebelum balik beraya, settlekan dulu segala kesilapan dengan rakan-rakan agar tenang merayakan hari raya nanti. 




Ada dikalangan rakan-rakan balik ke kampung halaman pada petang. Ada juga merayakan hari raya tahun ini bersama suami di kampung berhampiran. Ada juga yang balik pada hari khamis dan sabtu, masing-masing mengikut perancangan yang telah pun disusun rapi sebelum ini. Bagi rakan-rakan yang tinggal berhampiran sekolah (kawasan Tungku), diucapkan Selamat Hari Raya. Begitu juga rakan-rakan yang telah pun berada di kampung halaman masing-masing pada ketika ini dan tak lupa juga kepada rakan-rakan sekerja yang tinggal jauh (semenanjung) yang tidak dapat merayakan Aidilfitri tahun ini bersama keluarga, diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga suasana raya di sana dapat menutup sedikit kesedihan tidak dapat beraya di kampung halaman. Apa pun sekolah akan dibuka kembali pada isnin depan. Semoga semangat hari raya rakan-rakan masih berkobar-kobar bagi menyerikan lagi suasana ketika persekolahan dibuka semula nanti. 






No comments:

Post a Comment