Monday, June 18, 2012

Perjumpaan Motivasi Kecemerlangan UPSR dan Merentas Desa

Satu perjumpaan telah diadakan pada jam 12.50 tengah hari tadi bertempat di Pusat Sumber sekolah. Perjumpaan yang dihadiri oleh semua guru itu membincangkan tentang Program Motivasi dan Kecemerlangan UPSR dan Program Merentas Desa yang akan diadakan bermula pada 27hb Jun hingga 29 jun bagi program pertama dan 30hb Jun untuk program kedua.





Perjumpaan juga dihadiri oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan Bin Hj. Bahajan dan ketiga-tiga Penolong Kanan. Taklimat Program Motivasi dan Kecemerlangan UPSR disampaikan oleh Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros, menerangkan tentang pengaturan penceramah yang akan dijemput untuk program tersebut selain pengumuman senarai jawatankuasa khas yang diumumkan oleh En. Jabridin bagi melancarkan perjalanan program tersebut. Turut dibincangkan ialah program Solat Hajat yang akan diadakan buat kali kedua iaitu pada 29hb Jun.




Satu jawatankuasa juga telah diwujudkan khas bagi program merentas desa yang akan diadakan pada 30hb Jun nanti. Beberapa permasalahan yang timbul berkaitan jawatankuasa serta perlaksanaan kedua-dua program tersebut juga diperbincangan dan diselesaikan dengan baik dan professional. Penolong Kanan Kurikulum, En Abd. Hasim juga turut menjelaskan tentang kehadiran gerko murid-murid yang akan diisi secara online selain cara pengendalian punggutan mata oleh para peserta larian merentas desa yang mewakili rumah sukan masing-masing. Pada bahagian akhir perjumpaan, Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan Bin Hj. Bahajan menjelaskan tentang keadaan kewangan sekolah dan menyarankan semua panitia-panitia menguruskan PCG mereka dengan baik. Perjumpaan berakhir lebih kurang jam 2.15 petang.

Sunday, June 17, 2012

Jalan-jalan sekitar Kampung

Tidak banyak perkara yang berlaku di sekolah sepanjang minggu ini melainkan Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan pada Jumaat lepas. Keadaan agak berangin di sepanjang hari ini kerana menurut masyarakat setempat, angin selatan bertiup membawa keadaan berangin dan laut berombak. Tidak banyak yang dilakukan petang ini selain mengambil beberapa gambar sekeliling. Guru-guru sibuk menguruskan hal masing-masing. Ada diantara rakan-rakan yang sibuk belajar sempena peperiksaan  untuk PJJ , balik kg bagi yang tinggal luar dari sekolah, cuci kereta, bergerak ke bandar dan hal-hal lain bagi mengisi masa lapang dihujung minggu ini.




Esok bermula lagi episod kehidupan guru-guru dan murid-murid di sekolah. Bagi rakan-rakan yang sedang belajar atau membuat assignment untuk PJJ diucapkan selamat berjaya. Bagi rakan-rakan lain diucapkan selamat menempuh minggu baru di bulan Jun ini.

Friday, June 15, 2012

Hari bertemu pelanggan SK. Tungku

Hari Bertemu Pelanggan telah diadakan tadi bermula jam 7.30 hingga jam 11.20 pagi. Sambutan dari ibu bapa amat memberangsangkan kerana ramai ibu bapa hadir ke sekolah hari ini bagi mengetahui perkembangan akademik anak-anak mereka selepas melalui peperiksaan semester pertama lalu. Guru-guru kelas sibuk mengatur dan menjelaskan prestasi murid-murid jagaan mereka  dibantu oleh guru-guru penolong bagi melancarkan lagi perjumpaan tersebut. 




Ibu bapa memberi respond yang positif ketika perbincangan dilakukan dan diharap prestasi anak-anak mereka mampu dipertingkatkan pada peperiksaan semester akan datang. Melalui perjumpaan ini juga ia memberi peluang kepada guru-guru mengetahui sendiri keadaan murid jagaan mereka ketika berada di rumah selain mengetahui maklumat-maklumat lain bagi membantu guru memahami situasi murid-murid tersebut. Di harap kerjasama antara guru dan ibu bapa sentiasa terjalin erat bagi kemajuan anak-anak dan murid-murid SK. Tungku secara amnya. 

Sunday, June 3, 2012

Taklimat Sekolah Penyayang dan Pengurusan Kualiti Sekolah 2012

Pada 24hb Mei lalu, satu taklimat telah diadakan di pusat sumber sebaik sahaja tamat peperiksaan pada hari khamis lepas. Taklimat bermula jam 11.30 didahului oleh taklimat Sekolah Penyayang yang disampaikan oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan B. Hj. Bahajan. Guru-guru diterangkan mengenai perlaksanaan Sekolah Penyayang dan fungsi serta tujuan ianya dilakukan.





Taklimat diteruskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kualiti Sekolah, En. Jabridin yang membincangkan tentang keseragaman semua fail-fail dalam sekolah dan beberapa penambahbaikan agar sistem pengurusan teratur dan kemas. Hal-hal seperti fail panitia, Misi dan Visi sekolah, fail meja dan hal-hal lain yang berkaitan juga turut dibincangkan dalam taklimat tersebut.





Taklimat diakhiri dengan majlis makan yang diadakan di kantin sekolah. Majlis makan ini merupakan sedekah salah seorang daripada kakitangan SK. Tungku. Guru-guru begitu sibuk menyiapkan keputusan peperiksaan beberapa subjek sebelum waktu cuti bermula. Beberapa keputusan telahpun diperolehi melalui analisis markah yang diperolehi daripada Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Sekolah mula bercuti bermula 26hb Mei dan kembali dibuka pada 11 Jun depan.





Monday, May 21, 2012

Minggu peperiksaan murid-murid SK. Tungku

Minggu ini merupakan minggu yang genting bagi semua murid-murid SK. Tungku kerana peperiksaan semester 1 dijalankan mulai hari ini hingga khamis. Guru-guru subjek awal (Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Pendidikan Islam/Moral) mula sibuk memeriksa kertas selepas tamat hari pertama peperiksaan. Suasana sekolah agak sunyi hingga jam 9.15 pagi tadi dan bersambung dari 9.45 hingga jam 11.45 bagi kertas akhir hari ini.




Murid-murid kelihatan bersemangat ketika menjawab soalan. Pastinya guru-guru subjek dan guru-guru kelas akan sibuk selepas selesai peperiksaan ini kerana markah akan direkodkan dalam kad 001R dan rekod kemajuan murid selain memasukkan markah tersebut secara online melalui aplikasi Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Selamat menjawab dan Semoga berjaya diucapkan kepada murid-murid SK.  Tungku.



Sunday, May 20, 2012

Sukan Prasekolah peringkat Zon Tungku 2012

Sukan Prasekolah peringkat Zon Tungku telah diadakan pada 10 hb Mei lalu bertempat di padang SK. Sri Pantai, Lahad Datu. Kejohanan dirasmikan oleh Penyelia Prasekolah, Pn. Nelja. Lebih 10 prasekolah menyertai kejohanan kali ini dengan menyaksikan penyertaan julung kali Prasekolah SK. Tambisan. Sebanyak 6 acara dipertandingkan iaitu lari pecut 50 meter lelaki dan perempuan, 4 x 50 meter lelaki dan perempuan, sepak bola, kumpul bola, masukkan bola dalam jaring dan acara penutup iaitu tarik tali. Acara berlangsung dengan lancar dan meriah dengan sorakan ibu bapa serta guru-guru yang menyokong pasukan masing-masing. Kejohanan dimeriahkan lagi dengan acara terbuka lari 3 kaki lelaki dan perempuan dan acara tarik tali antara pasukan prasekolah yang nyata mendapat sambutan sangat menggalakan para penonton. Berikut antara aksi menarik yang dapat dirakamkan ketika kejohanan tersebut berlangsung.

















































































Kejohanan berakhir lebih kurang jam 1.30 petang. Ucapan syabas kepada jawatankuasa pertandingan yang berjaya memastikan segala aktiviti berjalan lancar. Tahniah juga kepada pasukan Praskolah SK. Tungku yang menunjukkan peningkatan tahun ini dengan 2 pingat perak. Ucapan tahniah juga kepada pasukan yang menang dan bagi yang kalah teruskan perjuangan dan cuba lagi di tahun hadapan.