Saturday, December 24, 2011

Opsyen SBPA

Ramai dikalangan rakan-rakan sibuk membicarakan tentang SBPA. Bagi yang tinggal berdekatan agak mudah untuk singgah ke sekolah untuk menandatangani skim baru. Ada juga yang datang dari jauh dan tak lupa juga mereka yang menghantar menggunakan pos. Jangka masa iaitu dari 16 – 30 Disember ( kemudiannya dilanjutkan ke 15 Januari bagi pemilihan opsyen SBPA ) menjadi tempoh yang genting bagi para pejawat awam untuk mengumpul sebanyak maklumat tentang skim baru ini di tambah lagi dengan camputangan CUEPACS yang menghangatkan lagi informasi tanah air  di bulan terakhir tahun 2011 ini.

Kebanyakan rakan-rakan sekerja telah pun menandatangani skim ini sama ada dari Sekolah Tungku sendiri mahupun dari sekolah-sekolah lain. Bagi yang belum  pula masa masih ada hingga 15 Januari ini untuk mendapatkan maklumat serta info terkini perbincangan antara JPA dan CUEPACS. Cuma opsyen bersara 60 tahun sahaja kekal tarikh akhirnya iaitu pada 30hb ini. Apa pun dengan pengenalan skim baru ini ianya diharap dapat meningkatkan motivasi serta kualiti kerja dan yang lebih penting lagi keberkatan daripada kerja yang kita usahakan.

Borang opsyen SBPA boleh didapati secara online di laman web http://www.moe.gov.my/sbpa/guru/opsyen-guru.html


Wednesday, December 14, 2011

Minggu terakhir: Rabu & khamis

Cuti sekolah telah pun bermula sejak 3 minggu yang lalu. Namun terdapat post yang masih tergantung kesudahannya . Walau bagaimanapun, bahannya tetap ada cuma ianya agak lewat sedikit diutarakan. Pada 17hb November lalu, persediaan dan raptai terakhir sebelum acara rasmi telah diadakan. Persiapan dewan telah 100% siap dan susunan aturcara giat diadakan bagi membiasakan dan memberi pendedahan awal kepada para penerima hadiah yang kebanyakkannya dari kalangan murid-murid mengenal kedudukan serta perjalanan majlis.
Semua unit telah pun bersedia memulakan majlis sejak jam 7 pagi lagi. Para tetamu jemputan telah pun mula membanjiri dewan serbaguna sejak jam 6.30 pagi. Bahagian pendaftaran sibuk mendaftar kedatangan tetamu sejak awal pagi.




Pasukan kompang, unit protokol, penyambut tetamu, unit P.A sistem, pengacara dan semua pihak terbabit telah pun bersedia menunggu isyarat kedatangan tetamu terhormat iaitu Penolong Pegawai Pelajaran Bahagian Unit Pengurusan Sekolah daerah Lahad Datu, Pn. Aisah Bt. Hj. Hassan. Majlis bermula lebih kurang jam 8 pagi sejurus ketibaan tetamu terhormat.  Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu negaraku dan Sabah Maju Jaya dan diikuti oleh bacaan doa oleh Ustaz Awang Rozey. 










Selepas sahaja penyampaian cenderahati kepada tetamu terhormat , beberapa persembahan telah diadakan oleh murid-murid dimulakan dengan persembahan bercerita  diselangselikan dengan majlis penyampaian sijil penghargaan dan kecemerlangan dalam bidang akademik untuk murid-murid, persembahan memperaga pakaian, penyampaian sijil penghargaan dan kecemerlangan untuk guru-guru dan akhir sekali persembahan koir oleh murid-murid tahun enam.














Majlis berakhir sekitar jam 11 lebih. Khabar kurang menyeronokkan tiba daripada rakan setiausaha peperiksaan apabila berita keputusan UPSR kurang memberangsangkan bagi sekolah ini. Mesyuarat post mortem telah diadakan pada hari jumaat bagi membincangkan tentang keputusan UPSR serta tindakan susulan yang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut di tahun hadapan.

Apa pun tahun 2012 merupakan tahun yang penuh cabaran bagi SK. Tungku . usaha yang lebih gigih diperlukan bagi membaiki pencapaian murid-murid dalam UPSR tahun 2012. Tahniah diucapkan kepada guru-guru yang telah dipilih sebagai pemenang anugerah Guru Cemerlang bagi Kurikulum, Kokurikulum dan HEM. Ucapan tahnian juga ditujukan kepada murid-murid yang berjaya dalam pelajaran dan bidang masing-masing. Tidak lupa juga ucapan tahniah ditujukan kepada murid-murid yang berjaya dalam UPSR. Bagi yang tidak berjaya pula perjalanan masih panjang maka teruskan perjuangan , belajar dengan gigih agar dapat mencapai impian yang diinginkan. Gambar disebalik tabir majlis tersebut boleh dilihat dalam galeri laman web SK. Tungku.

Wednesday, November 16, 2011

Minggu Terakhir Persekolahan : Selasa


Persiapan untuk sambutan Hari Anugerah Kecemerlangan peringkat sekolah SK. Tungku telah dimulakan hari ini. Selepas sahaja lonceng tamat rehat dibunyikan, aktiviti menyusun dan menghias dewan terus dimulakan. Bermula dengan susunan nama-nama penerima anugerah yang dikumpulkan dalam satu tempat untuk diberi taklimat awal hinggalah ke susun atur kerusi dan hiasan dewan, semuanya berkerjasama untuk menyiapkan bidang tugasan yang diarahkan.











AJK P.A  System juga memulakan tugas memasang kelengkapan audio untuk raptai penuh yang akan diadakan esok (hari ini).  Sebanyak 90% kerja berjaya disiapkan dan hanya perlu sedikit penambahan untuk raptai penuh nanti. 

Tuesday, November 15, 2011

Minggu Terakhir Persekolahan : Isnin

Pembinaan surau SK. Tungku telah pun dimulakan minggu ini. Surau pertama ini dibina berhampiran Prasekolah SK. Tungku dan  di jangka siap tahun hadapan. Pada masa yang sama juga makmal computer sekolah juga sedang dalam proses penyiapan fasa terakhir. Urusan fail RMT juga selesai hari ini yang mana semua guru-guru kelas menghantar laporan serta fail RMT untuk disemak oleh jawatankuasa RMT sekolah.




Mesyuarat Staff juga diadakan pada jam 12.20 tengah hari kemarin. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Penolong Kanan Kurikulum En. Idros A. Kampak membincangkan tentang senarai subjek yang akan diajar oleh guru-guru pada tahun hadapan. Juga dibincangkan ialah penetapan guru-guru kelas untuk tahun depan. Pemberian wang RM 100 untuk murid-murid juga dibincangkan selain beberapa hal-hal lain yang berkaitan. Mesyuarat yang diadakan di Pusat Sumber  sekolah itu berakhir lebih kurang jam 1.30 petang.




Minggu ini juga menyaksikan bermulanya musim hujan di kawasan Tungku dan sekitarnya. Hujan turun dengan lebatnya semasa mesyuarat staff berlangsung.




Saturday, November 12, 2011

Liga Winning Eleven 2011 Playstation

Pertandingan liga Winning Eleven Playstation 2011 telah diadakan buat tahun kedua selepas edisi pertama berjaya dilaksanakan awal tahun ini. Pertandingan tahun ini menyaksikan 13 pemain berentap merebut pemenang bagi tahun 2011. Setiap pemain dengan kelab bola sepak masing-masing dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan A (6 pasukan) dan kumpulan B (7 pasukan). Empat pasukan teratas di setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir. Ini merupakan sebahagian daripada usaha guru-guru yang tinggal di kawasan sekolah merapatkan hubungan silaturrahim dengan peserta-peserta lain yang terdiri dari rakan-rakan rapat dari kampung berdekatan. Selain menikmati keseronokan bersaing dengan peserta lain, ia juga dapat mengisi masa lapang dan meredakan sedikit  fikiran dari kesibukan berkerja dan juga urusan harian.


Anjuran kali kedua ini tampak sengit berbanding anjuran pertama kerana kesemua peserta mempunyai kemahiran serta penguasaan lebih baik dibandingkan anjuran sebelumnya. Pada anjuran sebelumnya iaitu sesi 2010-2011, ianya di buat bermula bulan Oktober tahun lalu dan berakhir awal tahun ini. Pada pertandingan tersebut, sebanyak 12 pemain mengambil bahagian dan dimenangi oleh Ken@Jamanie yang menggunakan Kelab Manchester United menewaskan Tom@Sukri yang menggunakan Atletico Madrid dengan keputusan 4-2.



Biarpun pertandingan ini tidak menawarkan hadiah kepada pemenang ia bukan lah masalah kepada para peserta kerana matlamat utama pertandingan yang dibuat secara tidak rasmi dan terhad kepada rakan-rakan terdekat ini ialah merapatkan hubungan sesama rakan, bertanya khabar  serta sebagai pendedahan baik untuk mental para peserta menghadapi dan mengendalikan sesuatu situasi terutamanya dalam sesuatu pertandingan. Kemungkinan pada anjuran akan datang hadiah akan ditawarkan bergantung pada perbincangan dengan rakan-rakan. Apa pun saya ucapkan semoga berjaya kepada semua peserta.

Friday, November 11, 2011

Minggu-minggu terakhir

Beberapa minggu ini guru-guru sibuk menguruskan dokumentasi serta aktiviti sebelum berakhirnya waktu persekolahan bagi tahun 2011 ini. Beberapa aktiviti juga dibuat seperti taklimat pendaftaran ke tingkatan satu serta program bestari solat yang telah dilaksanakan dengan jayanya.  Esok merupakan hari bertemu pelanggan manakala pada minggu depannya merupakan Hari Kecemerlangan peringkat sekolah bagi tahun 2011.


Kemarin juga berlangsung perjumpaan AJK hari Kecemerlangan. Perjumpaan yang berlangsung  pada jam 12.00 tengah hari itu membincangkan tentang persiapan serta perkembangan dan permasalahan yang timbul berkait perlaksanaan majlis tersebut. Mesyuarat dipengerusikan oleh Penolong kanan Kokurikulum SK. Tungku, En. Abd. Hasim.




Perjumpaan tersebut berakhir lebih kurang jam 1.15 minit petang.


Thursday, November 3, 2011

Program membaca 1 Malaysia

Program membaca 1 Malaysia telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini. Aktiviti yang bermula pada jam 9 pagi itu disertai oleh semua murid-murid dan berakhir pada jam 9.33 minit pagi. Program ini dijalankan selaras dengan matlamat kementerian dan kerajaan untuk memupuk minat membaca di kalangan masyarakat.  Murid-murid akan membaca selama lebih kurang setengah jam di bawah jagaan guru yang menjaga kelas terbabit.







Minggu ini juga menyaksikan proses penghantaran semula buku teks murid-murid ke SPBT sekolah.  Guru SPBT sekolah, Pn. Ruswin menguruskan penghantaran buku teks oleh murid-murid secara berperingkat-peringkat mengikut tahun masing-masing. Beliau turut dibantu oleh murid-murid yang dilantik untuk membantu pengurusan berjalan lancar.


Pada sebelah tengah hari pula Mesyuarat RMT pula diadakan bertempat di Pusat Sumber sekolah. Mesyuarat membincangkan tentang hal-hal berkaitan dengan perlaksanaan RMT. Turut dibincangkan juga pendaftaran murid-murid tahun 6 ke tingkatan 1 yang akan bermula pada minggu akhir persekolahan. Penerangan ringkas diberikan oleh Penolong Kanan HEM SK. Tungku, Pn. Hjh. Umai Kalsum mengenai persediaan dokumen bagi melengkapkan fail murid-murid tahun 6 untuk di bawa ke pendaftaran sekolah menengah nanti.