Saturday, September 14, 2013

PSKPPS Zon Tungku Bola Tampar 2013

Kejohanan tahunan PSKPPS bagi Zon Tungku telah bermula tadi (13hb September) didahului oleh sukan bola tampar. Pertandingan diadakan di gelanggang bola tampar SMK Tungku menyaksikan perlawanan pembukaan antara pasukan SK. Tungku menentang pasukan tuan rumah kejohanan kali ini SMK. Tungku. Perlawanan dimulakan sekitar jam 4.30 petang dan berlangsung 2 set mengikut format "best three". Kedua-dua pasukan sudah berada di kawasan gelanggang permainan sekitar jam 4 lebih dan melakukan sesi pemanasan sebelum perlawanan bermula. Pasukan SK. Tungku diwakili oleh Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros, Rizali, Henry, Nurulla, Mazlan, Mohd. Erwin, Wan Maliki, Hamit, Rizwan dan Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan sebagai pengurus pasukan.




Perlawanan bermula seimbang pada babak awal perlawanan sebelum pasukan SK. Tungku memenangi perlawanan pada set pertama. Persaingan agak sengit pada set kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berusaha menjarakkan kedudukan mata. Namun pasukan SK. Tungku melengkapkan kemenangan pada set kedua dan menamatkan perlawanan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit.













Perlawanan turut disaksikan oleh rakan-rakan sejawatan dan juga penyokong-penyokong yang terdiri daripada rakan-rakan sepermainan ketika para pemain SK. Tungku berlatih di gelanggang bola tampar sendiri di sekolah. Selepas sahaja para pemain bersalaman  dan berehat sebentar, sebahagian daripada para pemain SK. Tungku terutamanya meneruskan aktiviti sukan mereka dengan bermain sepak takraw. Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan turut terlibat dalam permainan tersebut. Masing-masing kelihatan menunjukkan kemahiran bermain meskipun kesemua mereka sudah lama tidak bergiat aktif dalam takraw. Pengetua SMK. Tungku turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut selain mengadakan sedikit perbincangan dengan Guru Besar SK. Tungku En. Marjan.








Kejohanan rasmi bermula esok (14hb September) di perkarangan sekolah SMK. Tungku. Beberapa acara dipertandingkan pada edisi kali ini seperti sukan bola sepak, badminton, bola jaring, sepak takraw, catur, dart, ping pong dan futsal bertempat di SMK Tungku. Manakala futsal pula diadakan di gelanggang futsal Felda Sahabat 16.


Saturday, September 7, 2013

Jamuan Raya antara kelas

Sambutan Aidilfitri peringkat sekolah telah sampai ke kemuncaknya apabila semua kelas mengadakan jamuan pada hari ini bertepatan dengan Program Sambutan Jamuan Raya yang telah dirancang bersama-sama dengan sambutan bulan kemerdekaan. Kesemua kelas mengadakan jamuan pada hari ini dibimbing oleh guru kelas masing-masing. Program bermula jam 10 pagi. Murid-murid tahun 6 juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam program ini. Meskipun tarikh peperiksaan UPSR sudah semakin hampir, namun mereka turut mengadakan rumah terbuka di kelas mereka. Ini merupakan sebagai satu cara meredakan tekanan yang mereka hadapi selain dapat menceriakan mereka sebelum menghadapi suasana peperiksaan yang genting minggu hadapan.











Suasana program sangat meriah apabila guru-guru melawat kelas-kelas. Kemeriahan dihangatkan lagi dengan adab berbalas kunjungan antara murid-murid ke kelas-kelas. Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan, guru-guru dan staf turut memeriahkan suasana dengan menghadiri jemputan murid-murid ke kelas mereka. Program yang diadakan buat julung kalinya ini mendapat sambutan yang hangat daripada murid-murid dan guru-guru apatah lagi dengan pakaian baju melayu dan baju kurung yang dipakai oleh murid-murid menceriakan lagi suasana yang sekaligus mencapai matlamat program iaitu menghidupkan suasana raya di hari tersebut. 






Program ini nyata berjaya mencapai objektifnya selain secara tidak langsung menerapkan nilai-nilai kunjung mengunjungi dan saling hormat menghormati dikalangan murid-murid. Majlis seperti ini patut diteruskan kerana selain menjamu selera ianya juga dapat merapatkan tali silaturrahim antara rakan-rakan sekerja dan anak-anak murid yang dikasihi. 

Saturday, May 25, 2013

Majlis Perpisahan Staf SK. Tungku, Cik Alminah bt Kiraman

Majlis Perpisahan salah seorang staf yang bertugas sebagai Pembantu Prasekolah, Cik Alminah telah diadakan pada hari khamis 23hb Jun 2013 iaitu sehari sebelum cuti persekolahan bermula. Majlis diadakan di pusat sumber sekolah dengan dihadiri hampir semua guru-guru dan staf SK. Tungku. Cik Alminah telah berkhidmat di sekolah ini sejak 2010 dan mendapat khabar pertukaran beliau dari Guru Besar pada selasa 21hb Jun. Beliau akan mula berkhidmat di sekolah baru iaitu SK. Loasong, Tawau selepas cuti sekolah ini. Watak yang ceria dan pandai membuat lawak jenaka adalah antara karekter beliau yang disenangi oleh semua staf dan guru di sekolah ini. Beliau mengikuti jejak dua rakan serumahnya yang telah berpindah sebelum ini iaitu Ustazah Dayang Maimun (2011) dan Pn Hjh. .Noor Kartini (2012). Suasana pada majlis perpisahan agak meriah dengan gurauan serta lawak jenaka yang sekali sekala diucapkan oleh Guru Besar, En. Marjan, para hadirin dan daripada orang yang diraikan iaitu cik Alminah sendiri. Berbeza dengan majlis perpisahan staf sebelum ini, suasana kesedihan kurang terasa mungkin kerana guru-guru dan staf mengenali beliau sebagai seorang yang kuat bergurau dan ceria. Walau bagaimanapun, kesedihan beliau kelihatan tidak tertahan selepas majlis makan mungkin kerana ia merupakan aktiviti terakhir untuk beliau berjumpa dengan rakan-rakan sepejuangan. Majlis dimulakan dengan kata-kata pembuka oleh juru acara majlis, En. Mohd. Erwin, bacaan doa oleh Ustaz. Abd. Muhaimin dan kata-kata aluan oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan diikuti ucapan salam perkenalan daripada Cik Marhani yang menggantikan beliau sebagai Pembantu Prasekolah yang baru. Cik Marhani merupakan bekas pelajar SK. Tungku. Cik Alminah seterusnya menyampaikan ucapan terakhir kepada rakan-rakan sebelum majlis makan dijalankan.















Berikut merupakan sedikit sedutan daripada ucapan Guru Besar, En. Marjan pada majlis tersebut. Video tersebut dapat dilihat dengan jelas melalui paparan HD 720 dan ke atas.


Kami semua di sini mengucapkan selamat bertugas dan semoga berjaya di sekolah baru.