Thursday, May 17, 2012

Sambutan Hari Guru SK. Tungku 2012

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah SK. Tungku telah berjaya dilaksanakan dengan meriah. Murid-murid telah berkumpul di dalam Dewan Serbaguna seawal jam 7 pagi. Para guru-guru yang terlibat dengan jawatankuasa yang dibentuk telah pun bersedia melaksanakan majlis tersebut yang telah disiapkan sejak kelmarin. Majlis bermula dengan kedatangan Guru Besar, En. Marjan Bin Hj. Bahajan diiringi oleh Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak ke dewan. Majlis bermula sekitar jam 7.30 itu dimulai dengan nyanyian Negaraku dan Sabah Maju Jaya.





Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Ustaz Jam'aus dan diikuti dengan ucapan perasmian oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan Bin Hj. Bahajan. Bacaan Ikrar Guru dan nyanyian lagu Guru Malaysia oleh guru-guru mengisi acara seterusnya yang dipersembahkan dihadapan murid-murid. Seterusnya, Ketua Pelajar, adik Khairunnisa Zahida binti Rizali memberikan ucapan Selamat Hari Guru mewakili pihak murid-murid SK. Tungku.
















Majlis diserikan lagi dengan persembahan oleh murid-murid Prasekolah dan murid-murid perdana yang diselangselikan dengan cabutan bertuah untuk murid-murid dan juga untuk para guru. Murid-murid membuat persembahan nyanyian dikir barat, berpantun, bercerita dan lain-lain nyata menarik perhatian bukan sahaja para guru malah juga murid-murid yang menonton persembahan tersebut.  

















































Seterusnya majlis berpindah tempat ke Pusat Sumber yang mana acara pemberian cenderahati, memotong kek dan acara bertukar hadiah diantara guru-guru diadakan. Acara bertukar hadiah ini telah pun dirancang lebih awal yang mana satu cabutan nama-nama guru dilakukan oleh setiap guru terbabit. Guru tersebut akan memikirkan hadiah yang akan dibeli untuk diberikan kepada nama yang dipilihnya sebelum acara tersebut berlangsung. Majlis kemudian diakhiri dengan guru-guru menjamu hidangan yang disediakan. Selamat Hari Guru diucapkan kepada guru-guru SK. Tungku dan rakan-rakan lain yang bergelar guru.



































Sunday, May 6, 2012

Acara tradisi SK. Tungku

Tidak sah kalau seorang guru yang pernah berkhidmat di SK. Tungku sejak 10 tahun lalu atau lebih tidak merasai acara yang seakan-akan tradisi bagi guru-guru iaitu jamuan makan. Acara yang menjadi kebiasaan warga guru SK. Tungku ini sudah pun berlaku sejak 2001 atau lebih lama dari itu. Majlis jamuan makan yang diadakan oleh guru-guru biasanya diadakan dalam bentuk informal dan adakalanya formal yang diselit dalam satu-satu majlis yang mana guru-guru akan berpakat menentukan masa acara itu diadakan dan merancang jenis makanan yang akan dihidangkan pada hari tersebut. Tidak kira sama ada guru-guru bujang mahupun guru-guru yang telah berumahtangga pastinya akan menghidangkan apa sahaja jenis makanan sama ada secara sharing budget terutamanya yang bujang ataupun menu-menu istemewa guru-guru lain.

Pelbagai jenis makanan dihidangkan dari yang ringan hinggalah makanan berat seperti ikan bakar, sup, kuih muih, mee goreng, daging kambing panggang, nasi kuning, nasi beryani, makaroni dan macam-macam lagi. Acara ini diadakan paling kurang sekali atau dua kali dalam setahun. Ini termasuklah guru-guru yang ada masanya bermurah hati  sponsor makan semua staf. Sememangnya acara ini sentiasa akan diingati oleh mana-mana guru yang pernah berkhidmat di sekolah ini dan diharap dapat diteruskan sebagai salah satu cara mengeratkan silaturrahim antara rakan sejawat.

Friday, May 4, 2012

Mesyuarat PIBG SK. Tungku 2012

Pada 3 hb Mei 2012, mesyuarat pertama PIBG peringkat sekolah SK. Tungku telah diadakan untuk sesi 2012 ini bertempat di Dewan Serbaguna SK. Tungku. Mesyuarat yang bermula lebih kurang jam 2.30 petang itu dihadiri oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan Bin Hj. Bahajan, Yang Dipertua PIBG SK. Tungku, En. Taib B. Mayong, Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak, Penolong Kanan HEM, Pn. Hjh. Umai Kalsum, Penolong Kanan Kokurikulum, En Abd. Hasim, Ahli-ahli jawatankuasa PIBG, guru-guru dan para ibubapa. Mesyuarat membincangkan tentang minit mesyuarat yang lalu, perlantikan ahli jawatankuasa baru, penetapan yuran keahlian, aktiviti gotong-royong serta hal-hal semasa yang berlaku di sekitar sekolah. En. Taib B. Mayong mengekalkan kedudukan beliau sebagai Yang Dipertua PIBG bagi SK. Tungku untuk tahun kedua. Perbincangan yang sangat positif daripada kedua-dua belah pihak telah dihasilkan dengan setiap persoalan yang timbul dapat diutarakan dan diperbincangkan dengan para ibubapa bagi mencari jalan penyelesaian baik bagi setiap permasalahan yang timbul. Mesyuarat ditangguhkan jam 5 petang.


















Wednesday, May 2, 2012

Mesyuarat Ketua Penyelaras Unit Kokurikulum dan Mesyuarat Kelab Staf

Mesyuarat Ketua Penyelaras Unit-unit Kokurikulum telah diadakan pada jam 12.20 tengah hari tadi disusuli oleh Mesyuarat Kelab Staf. Mesyuarat berlangsung di Pusat Sumber sekolah. Mesyuarat Ketua-ketua Penyelaras Unit Kokurikulum dipengerusikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Hasim membincangkan tentang penyelarasan takwim, format jadual takwim dan jadual guru bertugas, serta aktiviti-aktiviti dalam perjumpaan GERKO murid-murid yang dapat menarik minat mereka menghadiri perjumpaan-perjumpaan Unit Kokurikulum.

Mesyuarat Kelab Staf pula dipengerusikan oleh Cik Nurul Shahrinah membincangkan tentang yuran bulanan ahli serta aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tahun ini. Mesyuarat dihadiri oleh Penolong Kanan HEM, Pn. Hjh. Umai Kalsum, guru-guru dan staf sekolah. Mesyuarat ditangguhkan jam 1.30 petang.