Wednesday, February 8, 2012

Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kecil Tungku 2012

Pada 6hb Febuari lalu, perarakan sempena Maulidur Rasul peringkat daerah kecil Tungku telah diadakan bertempat di Perkarangan Urusetia Daerah Kecil Tungku. Para peserta perarakan telah pun berkumpul seawal jam 6 lebih di perkarangan Klinik Kesihatan Tungku. Sambutan tahun ini amat baik dan mendapat penyertaan beberapa kumpulan perarakan dari sekitar kawasan Tungku dan Felda.





Perarakan bermula sekitar jam 8 lebih dan berhimpun di Perkarangan Urusetia Daerah Kecil Tungku sehingga jam 11 lebih.  Pengadilan bagi pertandingan sepanduk telah dijalankan terlebih dahulu sebelum perarakan yang mana sebanyak 4 orang juri mengadili setiap kumpulan perarakan.








Paluan kompang antara para peserta kumpulan perarakan disertai dengan bacaan salawat di sepanjang perjalanan menghidupkan suasana sambutan tahun ini. Sambutan dihidupkan lagi dengan ceramah agama oleh Pegawai Zakat Negeri Sabah dan ucapan daripada Yang Berhormat Datuk Hj. Mohd. Suhaili Hj. Said, ADUN N. 49 Tungku. Sambutan mencapai acara kemuncaknya apabila pengumuman pemenang bagi peserta kumpulan perarakan terbaik tahun ini dibuat pada bahagian akhir acara sambutan. Acara dimulakan dengan penyampaian anugerah tokoh sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 2012 yang dianugerahkan kepada Ustaz Hj. Ahmad Bukhari bin Budin. Lebih membanggakan lagi beliau merupakan bekas kakitangan SK. Tungku yang telah berkhidmat selama 30 tahun bermula tahun 1970an. Beliau bersara pada tahun 2004.





















Kumpulan perarakan dari SK. Tungku telah mendapat tempat ke-2 dalam kategori sekolah-sekolah yang disertai oleh SK. Sri Pantai dan SK. Anjung Teduh. Tempat pertama disandang oleh SK. Sri Pantai manakala tempat ke-3 dimenangi oleh SK. Anjung Teduh. Antara pemenang-pemenang kategori lain ialah Kg. Cenderawasih  dan Sahabat 2 selaku johan penyertaan bagi tahun 2012. Kumpulan perarakan Sk. Tungku telah berjaya menaikkan kedudukan dari tangga ke-3 tahun lalu ke tangga ke-2 tahun ini. Tahniah kami ucapkan.











Saturday, February 4, 2012

Aktiviti terkini sepanjang minggu

Sekolah semakin sibuk. Banyak taklimat-taklimat dan kursus dalaman telah diadakan. Kegiatan gerko juga giat dijalankan selain latihan serta persediaan-persediaan untuk menyertai acara sukan dan perarakan Maulidur Rasul peringkat daerah kecil Tungku isnin ini. 

Mesyuarat Panitia Bahasa Inggeris kali pertama telah diadakan pada 20hb Januari lalu bertempat di pusat sumber sekolah. Mesyuarat yang dihadiri oleh semua staf yang mengajar bahasa inggeris itu dipengerusikan oleh Ketua Panitia Bahasa Inggeris SK. Tungku, Pn Rosita Sameh. Mesyuarat turut dihadiri Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak dan Guru Besar , En. Ahmad Sallehan. Mesyuarat membincangkan tentang takwim Panitia Bahasa Inggeris untuk tahun 2012, aktiviti-aktiviti pada English Week, penyelarasan format rph dikalangan guru-guru bahasa inggeris SK. Tungku, analisa keputusan bahasa inggeris upsr dan hal-hal lain yang berkaitan.




Bagi memantapkan kepimpinan serta kelancaran proses mengurus hal ehwal murid, Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua Kelas dan Penolong anjuran Unit Disiplin Sekolah telah diadakan pada 31hb Januari lalu bertempat di Pusat sumber sekolah. Murid-murid yang terpilih ini telah didedahkan dengan ceramah, motivasi dan bidang tugas setiap peserta  daripada Penolong Kanan HEM, Pn. Hjh. Umai Kalsum, Guru Kaunseling Sekolah, En. Abd. Hakim serta penceramah dari Unit Disiplin sendiri iaitu En. Mohd. Azman dan Ustaz Awang Rozey. Kursus dalaman ini berlangsung selama dua hari. Majlis penutupan dirasmikan oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Ahmad Sallehan.











Pada keesokan harinya iaitu pada 1 hb Febuari, taklimat Maulidur Rasul peringkat sekolah telah diadakan. Taklimat membincangkan tentang persediaan sekolah dari segi pakaian murid-murid yang menyertai perarakan, sepanduk, kumpulan kompang, perhiasan bunga telur dan hal-hal yang berkaitan. Aktiviti –aktiviti Sambutan Maulidur Rasul dan MTQ peringkat sekolah juga turut dibincangkan  bagi memantapkan perjalanan program tersebut. Guru besar juga telah menyampaikan amanat dari Pengarah Pelajaran Daerah Lahad Datu yang antara lain berkisar tentang pencapaian serta perancangan ke arah kecemerlang dalam UPSR.











Pada 2 hb Febuari pula taklimat Sukan tara telah diadakan. Taklimat ini diadakan bagi membincangkan  persediaan setiap rumah sukan bagi menghadapi sukan tara peringkat sekolah yang diadakan pada minggu depan. Borang-borang penyertaan telah diedarkan kepada setiap rumah sukan dan perbincangan tentang persiapan gelanggang kejohanan juga menjadi antara topik menarik pada taklimat tersebut. Taklimat dipengerusikan oleh En. Jabridin dan dihadiri oleh semua staf SK. Tungku. Selain daripada persiapan untuk sukan tara minggu hadapan, ianya juga dibuat sebagai medan untuk memilih atlit-atlit bagi mewakili sekolah ke Kejohanan MSSDLD yang akan diadakan tidak lama lagi.




Perjumpaan antara rumah sukan pula diadakan pada keesokan harinya sebagai kesinambungan daripada taklimat sukan tara yang diadakan pada 2 hb Febuari. Perjumpaan ahli-ahli rumah sukan dibuat bagi memilih atlit yang bakal mewakili rumah sukan bagi sukan tara yang diadakan minggu hadapan. Pemilihan ahli jawatankuasa dikalangan murid-murid juga telah diadakan selain taklimat-taklimat terkini kepada para ahli rumah sukan yang hadir. Setiap rumah sukan mengadakan perjumpaan selepas waktu rehat di tempat-tempat yang disediakan.