Saturday, October 19, 2013

Aktiviti sepanjang tahun : HUTAN - Kinabatangan Orang Utan Conservation Programme

HUTAN merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diasaskan pada 15 hb Januari 1996 oleh seorang primatologist, Dr. Isabelle Lackman dan vetenarian hidupan liar Dr. Marc Ancrenaz di Perancis. Pertubuhan ini bertanggungjawab dalam projek pemuliharaan Orang Utan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah. Pertubuhan ini telah mengadakan pameran dan karnival di beberapa sekolah bagi memberi maklumat berkaitan dengan hidupan liar, kepentingan hidupan liar, perlindungan hidupan liar dalam aspek perundangan dan lain-lain. Pada 25 hb September lalu, SK. Tungku bertuah kerana menjadi salah satu lokasi karnival pertubuhan tersebut. Pelbagai aktiviti diadakan semasa program tersebut antaranya sesi ceramah dan tayangan slide kepentingan hidupan liar, pameran rangka haiwan dan serangga, pameran gambar-gambar hidupan liar dan tayangan video. Semua murid terlibat dalam aktiviti ini dan diadakan secara bergilir mengikut tahap. Murid-murid prasekolah juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam aktiviti ini apabila kakitangan HUTAN memberi penerangan tentang hidupan liar disertai aktiviti membuat topeng yang dilaksanakan di bangunan Prasekolah. Aktiviti dimulakan dengan penerangan secara slide mengenai hidupan liar di dewan makmal. Kemudian murid-murid akan bergerak ke kelas tahun 2 Cemerlang yang mana pameran rangka haiwan dan serangga dijalankan. Selepas itu murid akan berkumpul semula selepas waktu rehat untuk sesi tayangan video dan lakonan khas model harimau yang dimainkan oleh salah seorang murid sekolah dengan bantuan kakitangan HUTAN. 






































Guru-guru juga berpeluang mendengar penerangan tentang hidupan liar semasa pameran dijalankan. Ia juga memberi peluang kepada guru-guru bertanyakan soalan kepada kakitangan yang bertugas tentang kemuskilan-kemuskilan yang timbul berkaitan dengan hidupan liar dari aspek perundangan dan juga maklumat-maklumat yang berkaitan. Sesi ceramah yang dijalankan oleh kakitangan HUTAN menarik dan mendapat perhatian murid-murid kerana diselang-selikan dengan sesi soal jawab serta pemberian hadiah kepada murid-murid yang menjawab soalan dengan betul. Para kakitangan HUTAN juga memberi penerangan kepada murid-murid ketika murid-murid berada di dalam bilik pameran. Semua aktiviti berjalan dengan lancar dan teratur. Pertubuhan tersebut berjaya mencapai objektifnya menyampaikan maklumat kepada guru-guru dan murid-murid sekolah betapa pentingnya menjaga hidupan liar daripada bahaya kepupusan. Program diakhiri dengan pemberian tanaman daripada kakitangan HUTAN kepada Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros yang mewakili Guru Besar dan warga SK. Tungku amnya. Diharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi memberi maklumat serta pendedahan berguna kepada warga sekolah. Program berakhir pada jam 1.10 petang. Bagi pengetahuan lanjut mengenai pertubuhan ini boleh layari www.hutan.org.my. 

Sunday, October 6, 2013

Aktiviti sepanjang tahun: Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat SK. Tungku

Program Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah telah berjaya dilaksanakan pada 9 hb september lalu. Pelbagai acara diadakan sempena hari tersebut. Murid-murid dan para jemputan telah berkumpul di dalam dewan seawal jam 7 pagi. Acara terbahagi kepada dua bahagian iaitu acara di dalam dewan sementara (makmal) dan acara luar. Acara di dalam dewan melibatkan ucapan alu-aluan dari Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan Bin Bahajan, tayangan video hari kemerdekaan, persembahan sajak dari murid-murid dan persembahan lakonan oleh murid-murid. Selepas selesai acara dalam dewan, majlis diteruskan dengan senaman aerobik diketuai oleh En. Wan Malieki dan En. Mohd. Erwin.




















Selepas letih melakukan senaman aerobik, para jemputan yang terdiri daripada ibu bapa serta murid-murid melepaskan dahaga sebentar sebelum meneruskan acara seterusnya. Terdapat beberapa acara dipertandingkan dan melibatkan beberapa kategori iaitu kategori untuk murid, guru-guru dan terbuka untuk ibu dan bapa. Sebelum acara dimulakan, murid-murid akan berkumpul dihadapan makmal untuk mendengar taklimat mengenai acara-acara yang akan dipertandingkan. Antara acara-acara yang dipertandingkan ialah baling belon berair, isi air dalam botol, tiup tepung, lari ikat kaki bertiga, larian sambung papan dan lain-lain lagi. Acara sambut belon berair mendapat perhatian ramai kerana dipenuhi aksi mencuit hati para peserta selain gelagat adik Mohd Ridzal yang menari mengikut irama selingan muzik yang dimainkan oleh AJK P.A sistem. Hadiah para pemenang disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG SK. Tungku, En. Taib bin Mayong, Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak dan Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Hasim b. Titeh. Acara berakhir lebih kurang jam 11.45 pagi. Berikut merupakan antara aksi yang sempat dirakam sepanjang acara berlangsung. 





























































































Sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini berjalan lancar biar pun pada awalnya terdapat masalah gangguan elektrik dan sedikit masalah teknikal audio tayangan video. Namun ianya tidak menganggu kelancaran aktiviti yang dijalankan. Syabas kepada AJK perlaksana yang terlibat menjayakan program ini kerana memastikan perjalanan aktiviti berjalan dengan lancar dan meriah.