Wednesday, August 29, 2012

Suasana raya di SK. Tungku

Suasana sambutan Hari Raya masih terasa biarpun guru-guru dan murid-murid kembali menghidupkan semula sekolah pada minggu ini. Murid-murid masih bercerita tentang kemeriahan sambutan hari raya di rumah masing-masing dan tidak lupa juga guru-guru yang juga berkongsi cerita tentang pengalaman berhari raya di rumah sanak saudara dan rakan-rakan. Kemeriahan ini ditambah lagi dengan majlis rumah terbuka yang diadakan oleh salah seorang rakan guru pada hari isnin lepas.








Majlis rumah tebuka yang diadakan di rumah En. Rizali dan isterinya Pn. Rosita dihadiri oleh rakan-rakan yang tinggal berhampiran. Pelbagai makanan disajikan antaranya satay, daging, kuih raya dan lain-lain. Terima kasih kepada tuan rumah yang menganjurkan majlis rumah terbuka ini dan makanan yang dihidangkan sememangnya best.

Monday, August 20, 2012

Detik-detik sebelum cuti raya

Suasana hari raya sudah terasa biarpun ada beberapa hari lagi pengumuman tarikh hari raya dibuat. Walaupun begitu pengajaran dan pembelajaran tetap berjalan seperti biasa dan kehadiran pelajar tetap diambil kira terutamanya ketika menghampiri cuti raya. Tidak hairan lah kenapa perhimpunan diadakan pada hari rabu, hari teakhir persekolahan bagi mengelak murid "cuti" awal sekiranya diumumkan pada perhimpunan isnin. Beberapa persiapan dibuat sebelum menjelangnya cuti. Ada diantaranya menyiapkan hadiah berupa sumbangan kepada anak-anak yatim pada perhimpunan pagi rabu nanti. Suasana agak biasa bagi guru-guru lain. Masing-masing mengurus masa yang terluang dengan membuat kerja.




Selain berbuka puasa di rumah, ada kalanya kami berbuka puasa di bandar bersama rakan-rakan selepas seharian menguruskan apa-apa perkara yang perlu dibereskan sebelum cuti. Suasana pagi rabu sangat baik. Murid-murid berkumpul di tapak perhimpunan bagi mendengar maklumat terkini terutamanya pengumuman cuti sekolah bermula khamis (16 Ogos) dan dibuka semula pada isnin (27 Ogos). Penyampaian wang sumbangan kepada anak-anak yatim juga dijalankan selain ucapan daripada guru-guru sempena menjelang hari raya.










Sebagai menghayati dan memeriahkan lagi suasana hari raya yang bakal menjelma, bermaaf-maafan sesama guru-guru dan murid-murid diadakan dan seperti biasa ianya berlaku pada penghujung masa persekolahan. Sebelum balik beraya, settlekan dulu segala kesilapan dengan rakan-rakan agar tenang merayakan hari raya nanti. 




Ada dikalangan rakan-rakan balik ke kampung halaman pada petang. Ada juga merayakan hari raya tahun ini bersama suami di kampung berhampiran. Ada juga yang balik pada hari khamis dan sabtu, masing-masing mengikut perancangan yang telah pun disusun rapi sebelum ini. Bagi rakan-rakan yang tinggal berhampiran sekolah (kawasan Tungku), diucapkan Selamat Hari Raya. Begitu juga rakan-rakan yang telah pun berada di kampung halaman masing-masing pada ketika ini dan tak lupa juga kepada rakan-rakan sekerja yang tinggal jauh (semenanjung) yang tidak dapat merayakan Aidilfitri tahun ini bersama keluarga, diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga suasana raya di sana dapat menutup sedikit kesedihan tidak dapat beraya di kampung halaman. Apa pun sekolah akan dibuka kembali pada isnin depan. Semoga semangat hari raya rakan-rakan masih berkobar-kobar bagi menyerikan lagi suasana ketika persekolahan dibuka semula nanti. 






Monday, August 13, 2012

Taklimat MAKSAK Medic Care

Taklimat oleh MAKSAK Medic Care telah diadakan di pusat sumber sekolah jam 12.50 tengah hari tadi. Taklimat yang disampaikan oleh pegawai dari Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Anggota Kakitangan Kerajaan berkisar tentang pentingnya kakitangan kerajaan mempunyai kad keahlian terutama dalam menghadapi kes-kes perubatan di hospital-hospital pakar yang terpilih. Taklimat dihadiri oleh Guru Besar, En. Marjan, Penolong Kanan HEM, Pn Hjh. Umai, Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd Hasim dan beberapa kakitangan sekolah.






Taklimat ini sedikit sebanyak memberi maklumat berguna kepada kakitangan kerajaan bahawa terdapat satu pakej perlindungan di bawah MAKSAK Medic Care yang dapat meringankan beban kakitangan kerajaan terutama ketika mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar terpilih. Proses pendaftaran akan dibuka esok bermula jam 9 pagi di pejabat sekolah.

Wednesday, August 8, 2012

Aktiviti bulan puasa

Tidak banyak kegiatan besar yang dilakukan pada bulan puasa ini. Tetapi suasana malam dihidupkan dengan   aktiviti sembayang tarawih sama ada di surau sekolah dan masjid yang berdekatan dengan kediaman guru-guru SK. Tungku. Bagi kakitangan SK. Tungku yang tinggal di kawasan sekolah, surau menjadi tempat berkumpul untuk mengerjakan solat isya' dan tarawih. Aktiviti ini mendapat sambutan yang baik bukan sahaja daripada kalangan warga sekolah sendiri malah juga masyarakat yang tinggal berdekatan.





Ustaz Mohd. Jam'aus dan Ustaz Awg Rozey menjadi imam mengetuai solat Isya dan tarawih berjemaah. Ini merupakan tahun pertama solat tarawih diadakan di surau ini sejak dirasmikan bulan Mac lalu. Diharap aktiviti mulia ini dapat dikekalkan dan hubungan silaturrahim antara guru-guru dan masyarakat sentiasa dieratkan.