Wednesday, November 16, 2011

Minggu Terakhir Persekolahan : Selasa


Persiapan untuk sambutan Hari Anugerah Kecemerlangan peringkat sekolah SK. Tungku telah dimulakan hari ini. Selepas sahaja lonceng tamat rehat dibunyikan, aktiviti menyusun dan menghias dewan terus dimulakan. Bermula dengan susunan nama-nama penerima anugerah yang dikumpulkan dalam satu tempat untuk diberi taklimat awal hinggalah ke susun atur kerusi dan hiasan dewan, semuanya berkerjasama untuk menyiapkan bidang tugasan yang diarahkan.











AJK P.A  System juga memulakan tugas memasang kelengkapan audio untuk raptai penuh yang akan diadakan esok (hari ini).  Sebanyak 90% kerja berjaya disiapkan dan hanya perlu sedikit penambahan untuk raptai penuh nanti. 

Tuesday, November 15, 2011

Minggu Terakhir Persekolahan : Isnin

Pembinaan surau SK. Tungku telah pun dimulakan minggu ini. Surau pertama ini dibina berhampiran Prasekolah SK. Tungku dan  di jangka siap tahun hadapan. Pada masa yang sama juga makmal computer sekolah juga sedang dalam proses penyiapan fasa terakhir. Urusan fail RMT juga selesai hari ini yang mana semua guru-guru kelas menghantar laporan serta fail RMT untuk disemak oleh jawatankuasa RMT sekolah.




Mesyuarat Staff juga diadakan pada jam 12.20 tengah hari kemarin. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Penolong Kanan Kurikulum En. Idros A. Kampak membincangkan tentang senarai subjek yang akan diajar oleh guru-guru pada tahun hadapan. Juga dibincangkan ialah penetapan guru-guru kelas untuk tahun depan. Pemberian wang RM 100 untuk murid-murid juga dibincangkan selain beberapa hal-hal lain yang berkaitan. Mesyuarat yang diadakan di Pusat Sumber  sekolah itu berakhir lebih kurang jam 1.30 petang.




Minggu ini juga menyaksikan bermulanya musim hujan di kawasan Tungku dan sekitarnya. Hujan turun dengan lebatnya semasa mesyuarat staff berlangsung.




Saturday, November 12, 2011

Liga Winning Eleven 2011 Playstation

Pertandingan liga Winning Eleven Playstation 2011 telah diadakan buat tahun kedua selepas edisi pertama berjaya dilaksanakan awal tahun ini. Pertandingan tahun ini menyaksikan 13 pemain berentap merebut pemenang bagi tahun 2011. Setiap pemain dengan kelab bola sepak masing-masing dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan A (6 pasukan) dan kumpulan B (7 pasukan). Empat pasukan teratas di setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir. Ini merupakan sebahagian daripada usaha guru-guru yang tinggal di kawasan sekolah merapatkan hubungan silaturrahim dengan peserta-peserta lain yang terdiri dari rakan-rakan rapat dari kampung berdekatan. Selain menikmati keseronokan bersaing dengan peserta lain, ia juga dapat mengisi masa lapang dan meredakan sedikit  fikiran dari kesibukan berkerja dan juga urusan harian.


Anjuran kali kedua ini tampak sengit berbanding anjuran pertama kerana kesemua peserta mempunyai kemahiran serta penguasaan lebih baik dibandingkan anjuran sebelumnya. Pada anjuran sebelumnya iaitu sesi 2010-2011, ianya di buat bermula bulan Oktober tahun lalu dan berakhir awal tahun ini. Pada pertandingan tersebut, sebanyak 12 pemain mengambil bahagian dan dimenangi oleh Ken@Jamanie yang menggunakan Kelab Manchester United menewaskan Tom@Sukri yang menggunakan Atletico Madrid dengan keputusan 4-2.



Biarpun pertandingan ini tidak menawarkan hadiah kepada pemenang ia bukan lah masalah kepada para peserta kerana matlamat utama pertandingan yang dibuat secara tidak rasmi dan terhad kepada rakan-rakan terdekat ini ialah merapatkan hubungan sesama rakan, bertanya khabar  serta sebagai pendedahan baik untuk mental para peserta menghadapi dan mengendalikan sesuatu situasi terutamanya dalam sesuatu pertandingan. Kemungkinan pada anjuran akan datang hadiah akan ditawarkan bergantung pada perbincangan dengan rakan-rakan. Apa pun saya ucapkan semoga berjaya kepada semua peserta.

Friday, November 11, 2011

Minggu-minggu terakhir

Beberapa minggu ini guru-guru sibuk menguruskan dokumentasi serta aktiviti sebelum berakhirnya waktu persekolahan bagi tahun 2011 ini. Beberapa aktiviti juga dibuat seperti taklimat pendaftaran ke tingkatan satu serta program bestari solat yang telah dilaksanakan dengan jayanya.  Esok merupakan hari bertemu pelanggan manakala pada minggu depannya merupakan Hari Kecemerlangan peringkat sekolah bagi tahun 2011.


Kemarin juga berlangsung perjumpaan AJK hari Kecemerlangan. Perjumpaan yang berlangsung  pada jam 12.00 tengah hari itu membincangkan tentang persiapan serta perkembangan dan permasalahan yang timbul berkait perlaksanaan majlis tersebut. Mesyuarat dipengerusikan oleh Penolong kanan Kokurikulum SK. Tungku, En. Abd. Hasim.




Perjumpaan tersebut berakhir lebih kurang jam 1.15 minit petang.


Thursday, November 3, 2011

Program membaca 1 Malaysia

Program membaca 1 Malaysia telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini. Aktiviti yang bermula pada jam 9 pagi itu disertai oleh semua murid-murid dan berakhir pada jam 9.33 minit pagi. Program ini dijalankan selaras dengan matlamat kementerian dan kerajaan untuk memupuk minat membaca di kalangan masyarakat.  Murid-murid akan membaca selama lebih kurang setengah jam di bawah jagaan guru yang menjaga kelas terbabit.







Minggu ini juga menyaksikan proses penghantaran semula buku teks murid-murid ke SPBT sekolah.  Guru SPBT sekolah, Pn. Ruswin menguruskan penghantaran buku teks oleh murid-murid secara berperingkat-peringkat mengikut tahun masing-masing. Beliau turut dibantu oleh murid-murid yang dilantik untuk membantu pengurusan berjalan lancar.


Pada sebelah tengah hari pula Mesyuarat RMT pula diadakan bertempat di Pusat Sumber sekolah. Mesyuarat membincangkan tentang hal-hal berkaitan dengan perlaksanaan RMT. Turut dibincangkan juga pendaftaran murid-murid tahun 6 ke tingkatan 1 yang akan bermula pada minggu akhir persekolahan. Penerangan ringkas diberikan oleh Penolong Kanan HEM SK. Tungku, Pn. Hjh. Umai Kalsum mengenai persediaan dokumen bagi melengkapkan fail murid-murid tahun 6 untuk di bawa ke pendaftaran sekolah menengah nanti.





Tuesday, November 1, 2011

Aktiviti bulan Ogos - Oktober

Aktiviti menulis blog telah ditunda beberapa kali beberapa bulan ini. Mungkin kerana talian yang tidak menentu stabilnya dan adakalanya sibuk dengan urusan harian. Meskipun begitu, catatan penting di sepanjang bulan Ogos hingga Oktober tetap juga dicatat untuk rujukan pada masa hadapan. Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang berlaku pada bulan-bulan tersebut yang sempat di catit untuk pengetahuan bersama.

Semasa umat islam sedang mengerjakan puasa selama sebulan bagi melaksanakan hukum islam yang ke-3, sesi pengajaran dan pembelajaran tetap dijalankan seperti biasa. Aktiviti yang dijalankan pada bulan Ogos ini juga sesuai dengan bulan yang mulia ini seperti mengadakan jamuan berbuka puasa dengan kakitangan SK. Tungku bersama anak-anak yatim yang belajar di sekolah ini. Jamuan diadakan di bilik tahun 6 diikuti oleh sembahyang  tarawih yang diadakan di bangunan Prasekolah 2.




Selepas sahaja peperiksaan UPSR berlalu, beberapa aktiviti telah diatur terutamanya bagi murid-murid tahun 6 bagi mengelak daripada murid-murid berkeliaran dan membuang masa di sekolah. Selain daripada pemantapan Protim yang dijalankan, aktiviti membina masjid secara berkumpulan juga diadakan bagi menarik minat murid yang sekali gus mencungkil bakat dan kreativiti murid mencipta model masjid ciptaan mereka hasil perbincangan mereka dalam kumpulan.  Pertandingan di bawah anjuran Panitia Agama Islam ini diadili oleh Ustaz Jama’us, Cikgu Jabridin dan Ustazah Pn. Noorhayati. Aktiviti sebegini sebenarnya telah pun diatur oleh bahagian kaunseling sekolah untuk memastikan masa murid sentiasa terisi dengan aktiviti berfaedah sebelum mereka menghabiskan masa persekolahan mereka di sekolah ini.









Perjalanan sekolah semakin sampai ke penghujung. Guru-guru semakin sibuk mengatur, mengurus kelas serta menyiapkan apa-apa dokumen berkaitan sebelum cuti panjang. Jadi, banyak lagi program yang bakal menyusul dan akan lampirkan di blog ini untuk tatapan bersama.