Thursday, September 26, 2013

Aktiviti sepanjang tahun SK. Tungku : Gaming Winning Eleven dan Pertandingan Kuiz antara persatuan

Pertandingan Playstation PES Winning Eleven 2013 telah diadakan pada malam 30 hb ogos semasa seluruh masyarakat di negara ini menunggu detik menyambut sambutan kemerdekaan kali ke-56. Pertandingan yang diadakan bersama rakan-rakan ini bukanlah salah satu daripada acara formal sekolah tetapi lebih kepada acara riadah bagi merapatkan hubungan silaturrahim dan melapangkan fikiran. Ini merupakan pertandingan tahun ke empat sejak dimulakan pada tahun 2010. Pertandingan disertai 10 pemain dikalangan staf dan rakan-rakan terdekat.





Pada 5 hb September lalu, pertandingan diantara persatuan-persatuan dan kelab anjuran Unit Kokurikulum telah diadakan bertempat di bangunan makmal komputer sekolah. Acara yang merupakan antara aktiviti rasmi takwim kegiatan kokurikulum sekolah itu menampilkan Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Sains, Persatuan Matematik, Kelab Rukun Negara dan Pendidikan Islam bersaing menjawab soalan kuiz yang diadakan sebanyak 3 pusingan dan soalan-soalan yang dikemukakan adalah berkisar tentang pengetahuan am dan sejarah. Setiap persatuan diwakili oleh 3 peserta mewakili tahun 4, 5 dan 6. Persatuan Bahasa Inggeris memenangi pertandingan tersebut diikuti oleh Persatuan Agama Islam dan Persatuan Matematik. Pertandingan turut disaksikan murid-murid tahun 4 dan 5. Acara bermula selepas waktu rehat.


















Tuesday, September 24, 2013

Aktiviti sekolah sepanjang tahun 2013 : Kem bestari Solat dan Seminar Motivasi Kecemerlangan

Pada 27 dan 29 bulan ogos lalu, Panitia Pendidikan Islam telah berjaya melaksanakan Program Kem Bestari Solat untuk murid tahap satu dan dua. Program ini dijalankan secara dua peringkat iaitu peringkat pertama diadakan pada 27 hb khas untuk tahap satu manakala pada 29 hb dikhaskan untuk murid-murid tahap dua. Tiga tempat digunakan oleh pengajar-pengajar bagi memberi penerangan dan praktikal kepada murid-murid iaitu di surau, bangunan makmal dan kelas. Beberapa aktiviti dijalankan semasa kem tersebut berlangsung antaranya penerangan tentang kepentingan solat, cara niat, praktikal berwudhu, praktikal azan dan juga solat berjamaah. Sebelum aktiviti bermulai, murid-murid menikmati makan tengah hari terlebih dahulu di kantin sekolah sebelum mereka berkumpul di kawasan surau untuk aktiviti seterusnya. Program bermula jam 12.30 tengah hari dan berakhir lebih kurang jam 3 petang.




























Pada 30 hb ogos lalu, satu Seminar Motivasi Kecemerlangan untuk tahun 5 dan 6 telah diadakan bertempat di makmal sekolah. Seminar ini dikhaskan kepada ibu bapa pelajar tahun 5 dan 6 sahaja. Seminar ini diadakan bagi memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan yang baik kepada anak-anak serta tips-tips untuk kejayaan anak. Encik Kamal, kaunselor bertauliah dari Sandakan memberi ceramah motivasi  pada seminar tersebut. Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Lahad Datu, Hj. Nasil Taibon yang mengiringi kedatangan Encik Kamal ke sekolah ini dan ditemani oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan. Seminar berakhir kira-kira jam 10.30 pagi.