Monday, April 23, 2012

Mesyuarat Kurikulum pertama di bawah Guru Besar baru

Mesyuarat kurikulum peringkat sekolah telah diadakan pada petang tadi 23hb April 2012 bermula jam 2 petang. Mesyuarat berlangsung di pusat sumber sekolah. Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan bin Hj. Bahajan mempengerusikan mesyuarat tersebut. Ketiga-tiga Penolong Kanan iaitu Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak, Penolong Kanan HEM, Pn. Hjh. Umai Kalsum dan Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Hasim Titeh turut hadir dalam majlis tersebut. Semua guru-guru hadir mengikuti mesyuarat tersebut yang juga merupakan mesyuarat kurikulum pertama di bawah pentadbiran Guru Besar En. Marjan dan merupakan mesyuarat kurikulum kali ke-2 tahun ini.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah tugas-tugas Penolong Kanan, Ketua-Ketua Panitia, laporan aktiviti panitia, kewangan panitia, Misi dan Visi sekolah, peperiksaan sekolah, penentuan keputusan kedudukan pelajar, program kecemerlangan UPSR sekolah dan hal-hal lain yang berkaitan. Kesemua pihak berpuas hati dengan dapatan mesyuarat hari ini yang membincangkan setiap perkara yang berbangkit dengan penuh professional. Mesyuarat ditunda pada jam 4.30 petang.













Pemain wakil sekolah dihargai

Majlis penyampaian pingat penghargaan telah diadakan pada pagi perhimpunan tadi sebagai tanda penghargaan kepada 3 pemain bola sepak sekolah yang mewakili sekolah dalam pertandingan bolasepak peringkat zon yang diadakan baru-baru ini. Ustaz Awang Rozey mengumumkan majlis penyampaian tersebut. Ketiga-tiga pemain yang mewakili sekolah itu ialah adik Boniface Justrameza (pemain pertahanan), Mohd Adwa Adlan (pemain sayap) dan Suhaimi Taib (pemain sayap). Pingat disampaikan oleh Guru Besar SK. Tungku En. Marjan Bin Hj. Bahajan. Zon Tungku mendapat tempat kedua baru-baru ini manakala Zon Silabukan menjadi johan pertandingan tersebut.




Sunday, April 22, 2012

Solat Hajat SK. Tungku 2012

Pada 12 hb April lalu, Majlis solat hajat telah diadakan bertempat di Surau SK. Tungku. Majlis diadakan seawal jam 6 petang bersama-sama dengan murid-murid tahun 6. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran ibu bapa tanda sokongan mereka terhadap majlis tersebut. Sebelum itu, murid-murid tahun 6 telah bersama-sama dengan guru-guru membersihkan kawasan sekeliling surau bermula jam 3.00 petang.

Buat pertama kalinya surau sekolah menjadi tempat untuk majlis solat hajat. Sebelum ini Masjid Kg. Mundas menjadi tempat tradisi warga sekolah dan ibu bapa mengadakan solat hajat yang ditujukan khas untuk murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR kelak. Bacaan yasin turut dilakukan bersama-sama hadirin di surau tersebut.

Majlis mendapat sambutan sangat menggalakan dari ibu bapa dan murid-murid. Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak selaku wakil dan penganjur majlis memberi sedikit ucapan kepada para hadirin sebelum mereka dijemput menjamu makanan yang disediakan di kantin sekolah.










Diharap dengan terlaksananya majlis ini, murid-murid SK. Tungku khasnya tahun 6 akan bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam UPSR nanti. 


Wednesday, April 11, 2012

Bengkel Sistem Pengurusan Latihan Guru

Bengkel Sistem Pengurusan Latihan Guru telah diadakan bertempat di pusat sumber SK. Tungku. Bengkel yang dijadualkan diadakan selama dua hari bermula 9 hb April dan berakhir 10 hb April dihadiri oleh semua guru. Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan b. Bahajan juga hadir menyaksikan perlaksanaan  bengkel yang dikendalikan oleh En. Jabridin Yusof. Bengkel ini diadakan bagi memberi taklimat kepada guru-guru berkaitan cara untuk mengisi aplikasi Sistem Pengurusan Latihan Guru dan kepentingannya kepada guru-guru dan sekolah.




Guru-guru dikehendaki membawa laptop bagi memudahkan urusan key in maklumat ke dalam aplikasi secara online. Objektif bengkel ini berjaya mencapai matlamatnya apabila guru-guru dapat memasukkan data ke dalam aplikasi. Semoga kerjasama seperti ini akan sentiasa berterusan demi kebaikan warga sekolah. 

Monday, April 2, 2012

Penyampaian trofi penghargaan

Penyampaian trofi penghargaan kepada para pemain bola sepak bawah 12 tahun SK. Tungku telah diadakan pada perhimpunan awal pagi tadi. Pemberian trofi ini adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan pihak sekolah kepada usaha para pemain pasukan bola sepak yang beraksi sebaik mungkin pada Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 tahun Zon Tungku yang diadakan pada 21hb Mac lalu. Trofi disampaikan oleh Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan dan disaksikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Hasim, Penolong-Penolong Kanan,  guru-guru dan murid-murid. SK. Tungku mendapat tempat keempat dalam kejohanan tersebut selepas tewas dalam perebutan tempat ketiga di tangan SK. Fajar Harapan menerusi sepakan penalti. Sebelum itu pasukan SK. Tungku dibawah bimbingan ketua jurulatih En. Awang Rozey berjaya menjuarai kumpulan B tetapi tewas kepada pasukan SK. Anjung Teduh dalam perebutan tempat ke perlawanan akhir. Syabas juga kepada 3 orang pemain SK. Tungku yang terpilih mewakili pasukan zon Tungku. Diharap pendedahan ini akan memberi pengalaman berguna kepada mereka ketika berada di sekolah menengah kelak. Tahniah diucapkan.



Sunday, April 1, 2012

Mesyuarat Pengurusan Staf

Pada 28hb Mac lalu, mesyuarat pengurusan staf pertama di bawah kendalian Guru Besar baru En. Marjan bin Hj. Bahajan berlangsung bertempat di pusat sumber sekolah. Mesyuarat bermula jam 2 petang dan dihadiri Penolong Kanan Kurikulum, En. Idros A. Kampak, Penolong Kanan HEM, Pn. Hjh. Umai Kalsum, Penolong Kanan Kokurikulum, En. Abd. Hasim dan semua guru termasuk pembantu pentadbiran sekolah. Mesyuarat membincangkan tentang pelbagai perkara penting antaranya dasar-dasar  kementerian pelajaran , taklimat kewangan, kehadiran staf,  kokurikulum, dasar-dasar kerajaan, buku rekod perkhidmatan, SKT, kebajikan staf (kelab guru) dan hal-hal lain yang berkaitan.  Mesyuarat berakhir sekitar jam 3 petang. 


Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Zon Tungku 2012

Kejohanan Bolasepak Bawah 12 tahun telah pun berjaya dilangsungkan pada 21 hingga 22 hb Mac 2012. SK. Telisai merupakan tuan rumah bagi kejohanan  kali ini. Sebanyak 10 pasukan berentap dengan dalam dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B. Sistem liga digunakan dan SK. Tungku berada dalam kumpulan B bersama-sama pasukan SK. Cenderawasih, SK. Fajar Harapan, SK. Sahabat 16, dan SK. Lok Buani. Semua pasukan bermain dalam keadaan padang yang agak mencabar kerana para pemain terpaksa bermain dalam keadaan padang sebelah berlumpur. Stamina serta semangat dan strategi setiap pasukan teruji kerana para pemain perlu menggunakan usaha yang lebih bagi mengawal permainan terutama di kawasan berlumpur. Namun ianya bukan lah sebab untuk  menganggu kerancakan dan kelancaran jadual perlawanan.



 Pasukan SK. Tungku yang diiringi oleh jurulatih En. Awang Rozey , pengurus pasukan, Ustaz. Jam’aus dan pembantu jurulatih En. Normin memulakan perlawanan dengan baik dengan mencatatkan kemenangan ke atas SK. Cenderawasih 1 -0. Pasukan SK. Tungku berjaya mencatatkan kemenangan ke dua pada sebelah petang ke atas SK. Lok Buani 1-0 dan mengakhiri jadual hari pertama dengan seri 0-0 dengan pasukan SK. Fajar Harapan. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan SK. Tungku seri dengan SK. Sahabat 16 pada perlawanan sebelah pagi di hari kedua kejohanan sekaligus meletakkan SK. Tungku sebagai juara kumpulan B. Manakala tempat kedua ialah pasukan SK. Fajar Harapan. Dalam kumpulan A pula menyaksikan pasukan SK. Tanjung Labian mengungguli kedudukan dengan diikuti oleh pasukan SK. Anjung Teduh .

Perlawanan pada hari kedua ini sengit kerana 4 pasukan ini berentap untuk memburu tempat ke perlawanan akhir. Pasukan SK. Tanjung Labian telah menempah tempat ke perlawanan akhir apabila menundukkan pasukan SK. Fajar Harapan manakala pasukan SK. Tungku dikecewakan oleh pasukan SK. Anjung Teduh. Perlawanan tempat 3 dan keempat menyaksikan perlawanan antara SK. Tungku menentang SK. Fajar Harapan yang menyaksikan perlawanan berlanjutan hingga ke sepakan penalti. Pasukan SK. Fajar Harapan menang perlawanan tersebut 4-3 sekaligus menduduki tempat ketiga pada kejohanan kali ini. Pasukan SK. Tanjung Labian menjadi johan pada kejohanan kali ini selepas menundukkan pasukan SK. Anjung Teduh 1-0 menerusi sepakan penalti dalam waktu perlawanan.  Tahniah kepada pasukan SK. Tanjung Labian kerana menjadi juara kejohanan edisi 2012 ini. Kepada pasukan-pasukan yang tidak berjaya, jangan putus asa dan diharap semangat melahirkan sebuah pasukan mantap dapat diteruskan untuk menghadapi kejohanan akan datang. Bagi SK. Tungku, diucapkan tahniah dan syabas kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika beraksi dengan pasukan-pasukan lain.  Syabas juga kepada guru-guru SK. Tungku yang datang memberi sokongan kepada pasukan pada hari pertama kejohanan. Kehadiran Guru Besar SK. Tungku, En. Marjan dan Penolong Kanan Kurikulum , En Idros juga Penolong Kanan Kokurikulum En. Abd. Hasim menyemarakkan lagi kem pasukan SK. Tungku. Ucapan syabas juga diucapkan kepada ibu bapa pemain pasukan SK. Tungku yang turut sama bersorak menaikkan semangat pasukan di luar padang. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada para pemain SK. Sri Darun dan krew-krew pasukan kerana turut memberi sorakan semangat kepada pasukan SK. Tungku.









Diharap semangat kesukanan sentiasa mewarnai suasana kejohanan akan datang. Berikut merupakan antara gambar-gambar yang sempat dirakam pada hari pertama kejohanan tersebut.





















































Kejohanan Bola Sepak antara zon baru sahaja berakhir. Tahniah kepada barisan pemain zon Tungku kerana memberi cabaran sengit sebelum tumpas 2-3 kepada zon Silabukan dalam perlawanan terakhir mereka. Sebelum itu pasukan zon Tungku telah mencatatkan kemenangan besar dalam dua perlawanan sebelumnya  (menang 4-0 ke atas Zon Bandar dan sekali lagi kemenangan 4-0 menentang Zon Segama.). Secara keseluruhan Zon Tungku menduduki tempat kedua. Ia merupakan petanda baik bahawa Zon Tungku mampu menjuarai kejohanan ini pada masa akan datang.